Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kurang 24 jam bernikah, isteri yang hidap barah meninggal dunia

Sebelum ajal berpantang mati. Namun, bagi Allahyarhamah Fatin Nursyahirah Yusuf, beliau menyahut seruan Illahi kurang 24 jam selepas bergelar isteri.

Anggaran Waktu Membaca:
Kurang 24 jam bernikah, isteri yang hidap barah meninggal dunia

Allahyarhamah Fatin Nursyahirah Yusuf bersama suaminya, Encik Mohamad Saiful Azzam Mohmed. (Gambar: Muhamad Adib/ Facebook)

Diterbitkan : 07 Aug 2018 12:18AM Dikemas Kini : 07 Aug 2018 12:25AM

PETALING JAYA: Sebelum ajal berpantang mati. Namun, bagi Allahyarhamah Fatin Nursyahirah Yusuf, beliau menyahut seruan Illahi kurang 24 jam selepas bergelar isteri.

Wanita berusia 24 tahun itu meninggal dunia akibat barah sarkoma atau barah tisu pada Sabtu lalu (4 Ogos), dan meninggalkan seorang suami yang setia kepadanya meskipun mengetahui tentang penyakit yang dialaminya sebelum disatukan.

Menurut mStar, Allahyarhamah Fatin disatukan dengan cinta hatinya, Encik Mohamad Saiful Azzam Mohmed, dalam satu majlis serba ringkas. Pengantin perempuan tidak memakai baju pengantin, manakala Encik Mohamad pula memakai baju Melayu. Tiada majlis meriah atau berwarna-warni.

Selepas pemergian isterinya, Encik Mohamad Saiful meluahkan perasaannya di Instagram yang meruntuh perasaan orang ramai.

"Separuh jiwa saya menemui Penciptanya. Cinta saya, satu-satunya isteri yang saya cintai, segala-galanya buat saya,” tulisnya menerusi InstaStory, sambil meminta jasa baik rakan-rakannya untuk menyedekahkan surah al-fatihah kepada arwah isterinya.

"DIA TENGAH REHAT CANTIK"

Lebih memilukan lagi, pemuda berusia 25 tahun itu turut memuat naik gambar terakhirnya bersama arwah isteri tercinta, yang turut disertakan dengan kapsyen: "Gambar terakhir saya bersama isteri... ye saya memakai baju nikah baju Melayu memandangkan dia (arwah) kata saya nampak segak pakai baju ni.”

Arwah Fatin dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Mahsuri di Jitra, Kedah.

Petikan gambar Instastory Encik Mohamad Saiful.

Dalam pada itu, Encik Mohamad Saiful menjelaskan bahawa kisahnya bukan sengaja untuk dijadikan tular ataupun mencetuskan inspirasi, namun sesuatu yang dilakukan khas buat insan tersayang.

“Saya rasa anda akan lakukan perkara yang sama kepada insan yang anda cintai. Terima kasih kepada semua ucapan dan doa. Moga Allah berbalikkan kepada kalian kembali. Saya okay. Dia tengah rehat cantik, cantik pakai bedak celak tadi,” katanya.

Encik Mohamad Saiful turut berkongsi gambar beliau mencium dahi isterinya yang terlantar di atas katil, sejurus selepas akad nikah.

KELUARGA TERUJA ADA YANG MASIH TERIMA FATIN

mStar sebelum ini melaporkan bahawa perkahwinan pada Jumaat (3 Ogos) adalah hasrat arwah yang merupakan anak keempat daripada lima beradik.

Abang pengantin perempuan, Encik Shukur Yusuf berkata, majlis akad nikah itu diadakan hasil perbincangan dan persetujuan bersama kedua-dua keluarga terutama keikhlasan Encik Mohamad Saiful yang sedia menerima arwah Fatin sebagai suri meskipun mengetahui mengenai keadaan kesihatan adiknya.

“Kami terharu dan tak sangka masih ada lagi keluarga dan lelaki di dunia ini yang sudi terima orang yang sedang sakit menjadi sebahagian daripada hidup mereka.

“Selepas buat majlis, kami rasa bersyukur dapat menunaikan hasrat arwah, dapat satukan kedua-dua mereka sebagai suami isteri,” katanya.  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan