Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kumpulan hak asasi gesa China dikenakan sekatan berhubung penahanan sejuta warga Islam

Masyarakat antarabangsa harus mengenakan sekatan ke atas China berhubung layanan negara itu ke atas etnik minoriti Uighur di wilayah barat, menurut kumpulan hak asasi Human Rights Watch (HRW) pada Isnin (10 Sep). Sehingga satu juta penduduk Uighur dikatakan mungkin ditahan di kem pendidikan semula.

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan hak asasi gesa China dikenakan sekatan berhubung penahanan sejuta warga Islam

HRW menyatakan tahanan dipaksa melalui indoktrinasi politik dan budaya. (Gambar: Johannes Eisele/AFP)

Diterbitkan : 10 Sep 2018 03:12PM Dikemas Kini : 10 Sep 2018 03:15PM

BEIJING: Masyarakat antarabangsa harus mengenakan sekatan ke atas China berhubung layanan negara itu ke atas etnik minoriti Uighur di wilayah barat, menurut kumpulan hak asasi Human Rights Watch (HRW) pada Isnin (10 Sep). Sehingga satu juta penduduk Uighur dikatakan mungkin ditahan di kem pendidikan semula.

China sudah lama mengenakan sekatan ketat ke atas kumpulan minoriti Muslim di wilayah Xinjiang atas alasan memerangi nacaman pengganasan dan sentimen pemisah. Langkah polis semakin dipertingkat dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Lebih satu juta penduduk Uighur dan Muslim minoriti Turki lain sedang ditahan di pusat-pusat antipengganasan, menurut anggaran yang panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai diskriminasi kaum bulan lalu.

Menurut laporan HRW, berdasarkan dokumen pemerintah dan keterangan daripada bekas tahanan di Xinjiang, mereka dipaksa melalui indoktrinasi politik dan budaya.

Laporan HRW menyatakan tahanan di kem terbabit "dipaksa belajar bahasa Mandarin, menyanyikan lagu propaganda memuji Parti Komunis China dan mereka yang enggan atau dianggap gagal belajar akan dihukum". HRW mendakwa para tahanan tidak diberi hak undang-undang atau dibenarkan menghubungi peguam atau keluarga mereka.

Laporan HRW menggambarkan tindakan lebih keras diambil ke atas kaum minoriti Xinjiang, termasuk penggunaan imbasan wajah dan pengumpulan contoh DNA, untuk memantau dan mengawal penduduk di wilayah itu.

HRW dalam laporannya juga mendedahkan hukuman mental dan fizikal ke atas tahanan yang enggan mematuhi arahan di dalam kem.

Beijing menafikan kem tersebut bertujuan menjalankan pendidikan politik sebaliknya menegaskan ia merupakan pusat latihan kejuruan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan mobiliti sosial di wilayah itu.

Laporan itu tegasnya "tidak benar sama sekali" sambil menyatakan "pusat latihan dan pendidikan" di mana "pesalah kecil" diletakkan adalah sekadar "membantu mereka menjalani pemulihan dan kembali ke pangkuan masyarakat".

Seorang pegawai China memberitahu Jawatankuasa PBB mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum di Geneva bulan lalu bahawa langkah keselamatan ketat di Xinjiang perlu untuk menentang fahaman pelampau dan pengganasan, namun tidak menyasarkan mana-mana kumpulan etnik mahupun mengehadkan kebebasan beragama.

Sumber : AFP/TQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan