Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kumpulan aktivis hak asasi manusia cabar keputusan M'sia hantar pulang pelarian Myanmar

Para aktivis di Malaysia membuat ikhtiar saat-saat akhir pada Selasa (23 Feb) untuk menghalang 1,200 pelarian Myanmar dihantar pulang beberapa minggu selepas berlaku rampasan kuasa di negara itu, dengan keputusan untuk menghantar mereka pulang mengundang kritikan pelbagai pihak.

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan aktivis hak asasi manusia cabar keputusan M'sia hantar pulang pelarian Myanmar

Tentera Myanmar hantar kapal ke M'sia untuk bawa pulang pendatang di situ (Gambar: AFP/Mohd RASFAN)

Diterbitkan : 23 Feb 2021 11:45AM Dikemas Kini : 23 Feb 2021 11:50AM

LUMUT, Perak: Para aktivis di Malaysia membuat ikhtiar saat-saat akhir pada Selasa (23 Feb) untuk menghalang 1,200 pelarian Myanmar dihantar pulang beberapa minggu selepas berlaku rampasan kuasa di negara itu, dengan keputusan untuk menghantar mereka pulang mengundang kritikan pelbagai pihak.

Para pendatang asing itu, yang termasuk anggota kumpulan minoriti yang mudah terdedah kepada bahaya, tiba di sebuah pangkalan tentera di pantai barat Malaysia, untuk menaiki tiga kapal yang disediakan oleh tentera laut Myanmar.

Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengkritik rancangan tersebut dan menggesa badan pelarian PBB diberikan akses untuk menilai sama ada mereka adalah pemohon suaka.

Menurut PBB, pihaknya dimaklumkan bahawa sekurang-kurangnya enam pelarian sudah mendaftar dengan badan tersebut dan mereka memerlukan perlindungan antarabangsa.

Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia seperti Amnesty International dan Asylum Access menyatakan pihak mereka sudah mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Usaha membatalkan keputusan ini adalah berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada kumpulan-kumpulan pelarian yang jelas menunjukkan bahawa mereka adalah antara pemohon suaka dan pelarian dari Myanmar," kata Katrina Jorene Maliamauv, pengarah eksekutif Amnesty International Malaysia.

"Pencabulan hak asasi manusia oleh tentera Myanmar terhadap para penunjuk perasaan dan pembangkang direkodkan dengan meluas. Jika Malaysia berkeras akan menghantar pulang 1,200 individu tersebut, negara itu akan dipertanggungjawabkan atas risiko berlaku penganiayaan, keganasan dan bahkan kematian."

Dengan para pendatang haram itu sudahpun tiba di pangkalan di Lumut menaiki trak dan bas yang diiringi oleh kereta polis, tidak jelas sama ada tindakan itu akan menjejas keputusan tersebut.

Tentera Myanmar merampas kuasa pada awal Februari dan tindakan untuk menahan pemimpin awam Aung San Suu Kyi mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di negara itu.

Malaysia pada awalnya menyuarakan "keprihatinan yang serius" terhadap rampasan kuasa tentera tetapi selepas beberapa hari kemudian, timbul pula berita yang mendakwa bahawa Malaysia sudah menerima tawaran dari junta Myanmar untuk menghantar kapal perang bagi membawa pulang para tahanan tersebut.

Para pegawai menegaskan bahawa para pendatang asing itu dihantar pulang kerana melakukan kesalahan-kesalahan menetap di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan dan tiada anggota kaum minoriti Rohingya yang dianiaya - yang tidak diiktiraf sebagai rakyat Myanmar - antara mereka yang akan dihantar pulang ke negara asal.

Namun antara mereka yang ditahan adalah anggota kaum minoriti Kristian Chin dan para pelarian dari wilayah Kachin dan Shan yang bergolak, menurut Lilianne Fan, pengarah antarabangsa Yayasan Geutanyoe, yang bekerja rapat dengan para pelarian.

Malaysia menampung berjuta-juta pendatang asing dari negara-negara miskin di Asia, dengan ramai daripada mereka bergaji rendah dan bertugas dalam sektor binaan. Selain Myanmar, para pendatang asing itu adalah dari negara-negara termasuk Bangladesh dan Indonesia.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan