Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kulit ayam jadi hidangan harian keluarga susah ini

Jika kulit ayam biasanya dibuang namun bagi sebuah keluarga lima beranak di Kampung Tengah, Kuala Krai, Kelantan, kulit ayam adalah antara lauk 'istimewa' bagi mereka sekeluarga saban hari.

Anggaran Waktu Membaca:
Kulit ayam jadi hidangan harian keluarga susah ini

Hidangan yang dimakan keluarga Cik Siti Hamidah Abdul Aziz. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 20 Aug 2019 11:02PM Dikemas Kini : 20 Aug 2019 11:07PM

KELANTAN: Jika kulit ayam biasanya dibuang namun bagi sebuah keluarga lima beranak di Kampung Tengah, Kuala Krai, Kelantan, kulit ayam adalah antara lauk 'istimewa' bagi mereka sekeluarga saban hari.

Menurut Siti Hamidah Abdul Hamid, 32 tahun, kesempitan hidup apatah lagi dengan pendapatan suami, Encik Muhamad Zuhaidi Safin, 33 tahun, sebagai buruh yang tidak membolehkan mereka lima beranak untuk 'mewah' berbelanja.

Katanya walapun kulit ayam kurang digemari namun bagi keluarganya kulit ayam adalah lauk yang menyelerakan.

"Biasanya saya mendapatkan kulit ayam ini di sebuah kantin di sekolah berdekatan kerana beranggapan satu pembaziran sekiranya dibuang.

(Gambar: Bernama)

Cik Siti Hamidah menunjukkan kulit ayam yang belum digoreng. (Gambar: Bernama)

"Lagipun, keluarga saya memang tidak mampu untuk makan daging ayam atau ikan setiap hari. Mujurlah ada orang yang sanggup menyediakan kulit ayam untuk diberikan kepada keluarga saya," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Jelasnya, walaupun ada yang beranggapan kulit ayam adalah bahagian ayam yang tidak elok namun tiada apa yang boleh dilakukan kerana tahu keadaan keluarganya.

"Untuk makan daging ayam atau ikan setiap hari kami memang tidak mampu. Jika makan pun mungkin sekali seminggu dan selebihnya akan diisi dengan apa sahaja lauk yang ada.

"Setakat ini, kesemua tiga anak perempuan saya (Siti Aisyah, 8 tahun; Norsyayidah Nafisah, 6 tahun; dan Nor Syafiya Nadira; 3 tahun) gemar memakan kulit ayam sejak dua tahun lalu," katanya yang berasal dari Jeli.

Sementara itu Encik Muhamad Zuhaidi berkata dengan pendapatan tidak menentu dan perlu membayar sewa rumahnya sebanyak RM100 (S$33) sebulan, agak sukar baginya menyediakan lauk yang berkhasiat kepada keluarga.

"Apa yang lebih penting perut mereka kenyang dan dapat diisi dan kami sekeluarga sihat," katanya yang amat mengharapkan memiliki rumah sendiri.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan