Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kuil Seafield diminta pulangkan tanah, wang pampasan

Kerajaan Selangor meminta pihak pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya, supaya memulangkan semula tanah dan wang pampasan yang diterima oleh pemaju sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Kuil Seafield diminta pulangkan tanah, wang pampasan

Kuil Seafield Sakthir Mahamariamman Lama. (Gambar fail: Facebook@OSMD1891)

Diterbitkan : 16 Dec 2018 03:24PM Dikemas Kini : 16 Dec 2018 03:27PM

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor meminta pihak pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya, supaya memulangkan semula tanah dan wang pampasan yang diterima oleh pemaju sebelum ini.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata tapak tanah seluas 0.405 hektar (satu ekar) dan wang pampasan berjumlah RM1.5 juta (S$490,000) yang diberikan oleh pemaju, perlu dipulangkan semula sebagai sebahagian daripada penyelesaian yang dicadangkan oleh Peguam Negara.

“Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik kenyataan Peguam Negara berkenaan isu Kuil Seafield dan bersetuju dengan penyelesaian dicadangkan oleh Peguam Negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau mengulas tentang kenyataan Peguam Negara, Tommy Thomas, kelmarin (15 Dis) berhubung isu kuil terbabit yang antara lain berkata, tertakluk kepada syarat-syarat dipersetujui, One City Development Sdn Bhd akan memindah hak milik plot tanah seluas satu ekar di mana terletaknya Kuil Sri Maha Mariamman kepada pemegang amanah yang akan diuruskan oleh Mahkamah Tinggi.

Menurut kenyataan Peguam Negara itu, penyelesaian yang dicadang dan disokong hasil pertemuan peguam berkenaan di pejabatnya awal minggu ini termasuk Peguam Negara akan memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya melantik pemegang amanah bagi menguruskan amanah dan kuil itu.

“Mahkamah Tinggi akan diminta untuk melantik seorang penerima, yang merupakan seseorang dengan reputasi yang baik, ternama dan berintegriti, yang boleh diterima oleh semua pihak bertelagah, sebagai seorang pegawai mahkamah untuk mengawal dan menjaga ke atas pemegang-pemegang amanah kuil serta tertakluk kepada pengawasan mahkamah,” katanya.

Pada hujung bulan lalu, Selangor digemparkan dengan insiden kekecohan di kuil itu yang menyaksikan polis menahan 106 indvidu setakat ini bagi membantu siasatan.

Kejadian itu turut menyaksikan seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, cedera parah akibat dipukul perusuh dan kini dirawat di Institut Jantung Negara.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan