Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kuih makmur, lagu Sudirman antara kegemaran Dr Mahathir di Hari Raya

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad memilih kuih makmur sebagai kuih raya kegemarannya pada musim Hari Raya Aidilfitri.

Anggaran Waktu Membaca:
Kuih makmur, lagu Sudirman antara kegemaran Dr Mahathir di Hari Raya

(Gambar: TWITTER/Dr Mahathir Mohamad)

Diterbitkan : 14 Jun 2018 11:05PM Dikemas Kini : 14 Jun 2018 11:13PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad memilih kuih makmur sebagai kuih raya kegemarannya pada musim Hari Raya Aidilfitri.

“Kuih makmur kurang gula...dulu banyak gula sekarang kurang gula,” katanya dalam video mengenai pesanan istimewa Hari Raya kali ini.

Ditanya mengenai lagu raya pilihannya, Dr Mahathir meminati lagu Selamat Hari Raya dendangan Allahyarham Sudirman Arshad selain memilih warna ungu ketika diajukan soalan mengenai warna baju Melayu kegemarannya.

Beliau juga menyifatkan saat berkumpul bersama seluruh keluarga selepas pulang daripada menunaikan solat sunat Aidilfitri dan berhari raya bersama keluarga merupakan memori indahnya pada hari lebaran.

“Ada pada satu hari raya tu semua ahli keluarga ada bersama...kadang-kadang ada yang tak dapat datang tu tak begitu ceria la.

-“...tapi pada satu tahun tu kita dapat semua sekali bersama dan dapat ambil gambar seluruh keluarga,” katanya dalam video yang dimuat naik menerusi laman Twitter dan Youtube.

Dr Mahathir juga mengambil kesempatan untuk menitipkan pesan kepada pengguna jalan raya agar memandu dengan cermat dan tidak terburu-buru serta gopoh bagi mengelakkan kemalangan jalan raya.

“Kepada semua yang sedang balik ke kampung ingatlah keluarga menunggu dan janganlah kecewakan mereka dengan terlibat dalam kemalangan di jalan raya,” tambahnya.

Selain itu, Dr Mahathir menasihatkan orang ramai agar tidak bermain mercun kerana ia boleh menyebabkan kebakaran dan kecederaan sehingga jari terputus.

Beliau pada masa sama mengingatkan orang ramai agar tidak makan dengan gelojoh sebaliknya makan secara sederhana ketika menikmati juadah hari raya.

Walaupun hari ini merupakan hari terakhir umat Islam berpuasa, Dr Mahathir mengakui terpaksa bekerja sehingga ke petang bagi menyelesaikan kerja yang bertimbun di pejabatnya.

“Saya dan isteri, (Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali) mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin,” katanya yang turut mempersilakan rakyat Malaysia untuk berkunjung ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, esok (15 Jun).

Sumber : Bernama/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan