Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kubur penduduk Kristian dipindahkan susuli bantahan penduduk kampung

Satu bantahan berlaku di sebuah kampung di Mojokerto selepas mayat seorang penganut Kristian dikebumikan di tanah perkuburan Islam.

Anggaran Waktu Membaca:
Kubur penduduk Kristian dipindahkan susuli bantahan penduduk kampung

Tanah perkuburan di Indonesia. (Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 23 Feb 2019 10:55AM Dikemas Kini : 23 Feb 2019 11:09AM

JAKARTA: Satu bantahan berlaku di sebuah kampung di Mojokerto selepas mayat seorang penganut Kristian dikebumikan di tanah perkuburan Islam.

Penyelaras yang mengendalikan kes tersebut, Imam Maliki, menjelaskan bahawa proses pengebumian dijalankan pada 15 Feb, sehari selepas seorang wanita mati.

Sebelum mayat wanita tersebut dikebumikan, beberapa penduduk tempatan sempat membantah. Namun, selepas pihak keluarga berunding dengan para penduduk kampung berkenaan, mayat tersebut akhirnya dibenarkan dikebumikan di tanah perkuburan mereka.

Tetapi beberapa syarat ditetapkan. Proses pengebumian tidak boleh dijalankan mengikut istiadat Kristen yang lazimnya diadakan dan tiada tanda salib dibenarkan pada kuburnya.

Keluarga mendiang merupakan satu-satunya penganut Kristian di kampung tersebut. Mereka menerima syarat-syarat itu kerana tidak mempunyai pilihan lain dan ingin jenazah segera dikebumikan.

TANAH WAKAF UNTUK ORANG MUSLIM

Dua hari selepas pengebumian, satu surat diedarkan bagi membantah mendiang dikebumikan di tanah perkuburan Islam. Sebabnya, tanah perkuburan tersebut dikatakan "milik orang Islam, dan bukan tanah desa". Ada juga yang tidak setuju sekiranya penganut agama lain dikuburkan di tapak yang sama.

"Tanah itu tanah wakaf untuk orang Muslim - itu yang menjadi alasan mengapa penduduk membantah. Mereka yang menolak tahu itu makamnya untuk orang Muslim," jelas Imam Maliki kepada CNN Indonesia.

Seorang anggota Jaringan Islam Antidiskriminasi (JIAD) Aan Anshori menerusi catatan Facebooknya menyatakan bahawa anak mendiang - yang dikenali sebagai Novi - memilih untuk bertolak ansur kerana tidak ingin memperkeruh masalah. Sebagai penduduk kampung itu, tambah Encik Aan Anshor, Novi sebelum ini berpandangan bahawa keluarganya berhak mendapat layanan sama meskipun agama mereka berbeza.

Seorang jurucakap daripada pihak pengurusan desa tersebut, Kukun Triyoga mengatakan bahawa satu munsyawarah diadakan dan keputusan sudahpun dicapai. Munsyawarah itu dihadiri pihak keluarga mendiang dan para penduduk desa.

KUBUR DIPINDAHKAN BILA TEPAT WAKTUNYA

"Alhamdulillah masalah sudah dapat dihuraikan, pihak keluarganya sudah setuju," katanya menerusi panggilan telefon bersama CNN Indonesia.

Beliau selanjutnya mengesahkan bahawa mendiang akan dipindahkan ke tanah perkuburan bukan Muslim. Bagaimanapun, memandangkan kampung tersebut tidak memperuntukkan tanah perkuburan untuk mereka yang bukan Muslim, kubur mendiang hanya akan digali selepas kemudahan itu disediakan.

"Kami sebenarnya ingin makam Bu Nunuk tetap di desa itu. Kami sudah menggesa supaya ada tapak khas bagi perkuburan mereka yang bukan Muslim," kata Encik Kukun.

Beliau menambah, pihak desa menjangkakan waktu enam bulan sebelum tanah perkuburan untuk mereka yang bukan Muslim, siap.  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan