Images
  • facial illustration
    Gambar hiasan CNA

Krim pemutih dengan kandungan merkuri tinggi masih beredar dalam pasaran

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa krim pemutih yang mengandungi kadar merkuri yang tinggi sehingga 44,148 bahagian per juta (ppm) termasuk yang pernah diharamkan oleh Kementerian Kesihatan kini beredar dalam pasaran di negara ini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata hari ini (8 Okt) bahawa analisis kandungan merkuri yang dijalankan terhadap sembilan sampel krim pemutih mendapati kandungan merkuri pada krim berkenaan adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada yang dikesan dalam produk kecantikan sejak 1983.

“Pengharaman oleh Kementerian Kesihatan terhadap krim pemutih berkenaan nampaknya kurang berkesan kerana produk itu didapati masih dijual di kedai kosmetik dan pusat membeli-belah di seluruh negara bersama krim tiruan jenama popular,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau merkuri dalam kosmetik pencerahan kulit itu boleh mendatangkan risiko yang ketara terhadap kesihatan pengguna yang bukan sahaja boleh merosakkan kulit, malah menjejaskan buah pinggang dan sistem saraf.

CAP Mohideen berkata bahawa penggunaan kerap krim mengandungi merkuri boleh menyebabkan ruam, perubahan warna dan penipisan pada kulit.

"Keracunan merkuri juga boleh menyebabkan gigi menjadi longgar dan lapisan biru membentuk pada gusi. Janin pada wanita hamil juga mungkin terjejas kerana merkuri boleh meresap melalui plasenta," katanya.

Encik Mohideen bagaimanapun tidak menyebut jenama-jenama kosmetik yang dikaitkan dengan risoko-risiko tersebut.

Beliau menggesa Kementerian Kesihatan sentiasa memantau serta mengawasi produk kosmetik yang mengandungi bahan yang berbahaya kepada kesihatan pengguna serta yang sudah diharamkan daripada dijual di pasaran. 

- BERNAMA/NA/na

Top