Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kotak hitam Lion Air JT610 ditemui

Kotak hitam pesawat Lion Air JT610 sudah ditemui, kata pihak berkuasa Indonesia seperti yang ditukil oleh media tempatan pada Khamis (1 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Nov 2018 12:40PM Dikemas Kini : 01 Nov 2018 10:31PM

JAKARTA: Kotak hitam pesawat Lion Air JT610 sudah ditemui, kata pihak berkuasa Indonesia seperti yang ditukil oleh media tempatan pada Khamis (1 Nov).

Kotak hitam itu ditemui pada pukul 10.15 pagi di perairan Tanjung Karawang, Jawa Barat.

Terdapat dua kotak hitam iaitu alat perakam data penerbangan dan alat perakam suara kokpit.

Alat perakam data penerbangan mengandungi maklumat selama 25 jam mengenai kelajuan, ketinggian dan arah perjalanan pesawat.

Alat perakam suara kokpit pula mengandungi rakaman perbualan dan bunyi lain dalam kabin juruterbang.

Pesawat Boeing-737 MAX terhempas ke dalam Laut Jawa pada 29 Oktober, hanya 13 minit setelah ia berlepas dari lapangan terbang Jakarta.

Pesawat itu sedang dalam perjalanan ke bandar Pangkal Pinang di Pulau Bangka semasa nahas itu berlaku.

Para pegawai penyelamat sebelum ini memberi tumpuan kepada usaha mencari bahagian utama pesawat berkenaan, terutamanya kotak hitam pesawat itu, sedang para penyiasat berusaha untuk menentukan punca nahas tersebut.

Pihak berkuasa sudah mengerahkan para penyelam, kapal mencari dan menyelamat serta empat alat pengesan sonar dan alat pengesan dasar laut.

Komite Nasional Keselamatan Transportasi Indonesia menyatakan bahawa pesawat itu membawa 181 penumpang - termasuk dua bayi dan seorang kanak-kanak - serta lapan anak kapal apabila kejadian tersebut berlaku. 

Seramai 20 kakitangan dari Kementerian Kewangan Indonesia dan Andrea Manfredi, seorang bekas pelumba basikal profesional rakyat Itali, adalah antara para penumpang pesawat malang itu.

Pesawat JT610 meningkatkan kelajuan ketika ia tiba-tiba hilang ketinggian beberapa minit sebelum ia dilaporkan hilang, menurut lelaman pemantauan data penerbangan. Pihak berkuasa menyatakan beberapa saksi ternampak pesawat itu terhempas ke dalam laut.

Para pegawai Indonesia mengenal pasti kapten pesawat berkenaan sebagai Bhavye Suneja, seorang rakyat India yang sudah berkhidmat dengan Lion Air selama tujuh tahun, menurut laporan media tempatan. 

Menurut Lion Air, Suneja dan rakan setugas, Harvino, melakukan 11,000 jam masa penerbangan. Mereka baru-baru ini juga menjalani ujian perubatan dan antidadah. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan