Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kos ibadah umrah dijangka lebih tinggi dek SOP baru Saudi

Kos menunaikan ibadah umrah dijangka meningkat sedikit ekoran pelaksanaan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) baru yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi berikutan pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Kos ibadah umrah dijangka lebih tinggi dek SOP baru Saudi

Para jemaah umrah di Makkah pada 25 Dis 2020. (Gambar: Haramain/Facebook)

Diterbitkan : 16 Aug 2021 08:22AM Dikemas Kini : 16 Aug 2021 08:23AM

KUALA LUMPUR: Kos menunaikan ibadah umrah dijangka meningkat sedikit ekoran pelaksanaan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) baru yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi berikutan pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata sebahagian besar peningkatan kos itu berkait dengan penjarakan sosial seperti had muatan bilik hotel dan bas.

“Sebagai contoh - jumlah jemaah dalam bilik penginapan dihadkan kepada dua orang sahaja yang mana sebelum wabak COVID-19, satu bilik boleh memuatkan 4 hingga 6 orang. Begitu juga semasa jemaah menaiki kenderaan (bas), yang mana jumlah penumpang dihadkan kepada 50 peratus muatan bas.

“Selain itu, jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram turut dihadkan. Pergerakan semasa melaksanakan tawaf dan sai perlu mengikuti SOP ketat seperti mana yang kita lihat semasa musim haji baru-baru ini, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan 60 ribu jemaah haji sahaja menunaikan haji,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad (15 Ogos).

Dr Zulkifli berkata peraturan-peraturan berkenaan turut memberi bayangan bahawa ada kemungkinan kesan terhadap kos mengerjakan umrah.

“Oleh yang demikian, kita berharap semua yang berhasrat menunaikan umrah perlu akur dan menerima sebarang perubahan baru tersebut dengan hati terbuka.

“Jemaah umrah harus sentiasa mematuhi SOP terutamanya penjarakan sosial sepanjang mereka melaksanakan umrah demi keselamatan semua pihak,” ujarnya.

Pada 1 Ogos lalu, Arab Saudi membuka semula pintunya kepada pelancong daripada 49 negara termasuk Malaysia, dengan mempermudahkan prosedur mendapatkan visa bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal sehingga 90 hari di negara itu. 

Dr Zulkifli menambah kebenaran itu adalah satu penghormatan dan pengiktirafan kepada sistem pengurusan kesihatan Malaysia.

Namun, beliau berkata pihaknya masih menunggu makluman rasmi dan terperinci daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi membenarkan rakyat Malaysia menunaikan ibadah umrah.

“Jemaah umrah dari Malaysia yang ingin melaksanakan ibadah umrah perlu bersedia dengan perubahan-perubahan baru yang bakal ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Pihak kami difahamkan kerajaan Arab Saudi sedang meneliti peraturan-peraturan terperinci ke atas sesebuah negara dengan mengambil kira permasalahan penjagaan kesihatan dan keselamatan semua pihak dalam suasana pandemik COVID-19 yang masih belum reda di serata dunia,” ungkapnya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan