Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kos bina 2 tangki tambahan di rumah Najib RM56,000

Mahkamah Tinggi pada Khamis (18 Apr) diberitahu bahawa kos pemasangan dua tangki tambahan di kediaman bekas Perdana Menteri, Encik Najib Razak adalah bernilai RM56,500 (S$18,000). 

Anggaran Waktu Membaca:
Kos bina 2 tangki tambahan di rumah Najib RM56,000

Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak bercakap kepada Reuters dalam wawancara pada 19 Jun 2018. (Gambar fail: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 19 Apr 2019 07:39AM Dikemas Kini : 19 Apr 2019 07:43AM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Khamis (18 Apr) diberitahu bahawa kos pemasangan dua tangki tambahan di kediaman bekas Perdana Menteri, Encik Najib Razak adalah bernilai RM56,500 (S$18,000).

Saksi pendakwaan ketujuh, pengarah urusan Syarikat MOZ (M) Sdn Bhd, Encik Mohammed Zakariyya Zearat Khan, 35 tahun, yang bertanggungjawab melakukan kerja penambahan tangki itu berkata pemasangan itu dilakukan setelah menerima panggilan daripada pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) terdapat gangguan bekalan air di kediaman bekas perdana menteri itu.

“Pihak Syabas memaklumkan kediaman Encik Najib di Jalan Langgak Duta kerap berlaku gangguan bekalan air kerana terletak di kawasan berbukit,” kata saksi itu semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Encik Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi di perbicaraan kes Encik Najib yang masuk hari kelima semalam.

Saksi itu turut berkata beliau menerima satu cek bernilai RM56,500 (S$18,000) daripada Encik Amirul Hadi yang merupakan pengurus kediaman Encik Najib yang terletak di Jalan Langgak Duta bagi tujuan pembayaran kerja pemasangan tangki tambahan tersebut.

Beliau berkata jumlah tersebut meliputi kerja pembinaan dua tangki air booster jenis fiber masing-masing berkapasiti 6,000 liter dengan pemasangan konkrit, panel untuk kawalan rumah pam dan rumah pam itu sendiri, yang siap dalam tempoh dua minggu.

Ketika ditanya pihak pembelaan mengenai anggaran individu yang dapat ditampung oleh tangki dibinanya, Encik Mohammed Zakariyya berkata ia dapat digunakan oleh 10 hingga 20 orang.

Mengulas lanjut, beliau turut berkata anggaran itu dibuat berdasarkan jumlah penghuni rumah termasuk tetamu yang datang ke rumah tersebut seperti pelajar tahfiz yang selalu mengadakan majlis bacaan surah Yasin beberapa kali dalam seminggu.

Beliau turut berkata pemasangan dua tangki tambahan adalah satu keperluan bagi kediaman tersebut dan bukan kemewahan.

Encik Najib, 66 tahun, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta (S$14 juta). 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan