Images
  • kim (1)
    Presiden Moon Jae-in dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un. (Gambar fail: Reuters)

Korea Utara tolak ikrar dialog Korea Selatan

KOREA SELATAN: Korea Utara tidak akan berunding dengan Korea Selatan lagi, sekali gus menolak ikrar Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in untuk meneruskan dialog dengan Pyongyang.

Korea Utara bertegas membantah latihan tentera bersama antara Korea Selatan dengan Amerika Syarikat (AS) yang bermula minggu lalu, menyifatkannya sebagai ‘latihan perang’ dan melancarkan beberapa peluru berpandu jarak dekat baru-baru ini.

Seorang jurucakap Korea Utara berkata dalam satu kenyataan bahawa kebuntuan rundingan di antara kedua-dua pemimpin itu disebabkan oleh Korea Selatan.

“Sudah jelas di sini bahawa tiada apa lagi untuk dibincangkan dengan pihak berkuasa Korea Selatan dan kami tiada keinginan untuk duduk semeja dengan mereka,” menurut jurucakap Suruhanjaya Penyatuan Semula Secara Aman.

Menurut jurucakap Korea Utara itu lagi, anggapan bahawa dialog itu akan disambung semula sebaik sahaja latihan tentera dengan Amerika Syarikat itu tamat adalah satu‘khayalan’.

Korea Utara masih terbuka mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat namun menolak penyertaan Korea Selatan dalam perbincangan itu.

Presiden Donald Trump dan Kim Jong-un sudah bertemu sebanyak dua kali sejak sidang puncak pertama di Singapura tahun lalu. Bagaimanapun tidak banyak kemajuan dicapai berhubung komitmen Korea Utara untuk melucutkan senjata nuklear.

- REUTERS/NA/na

Top