Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Korea Selatan, Korea Utara akan lakar 'pelan ekonomi baru' selepas program nuklear dilucutkan

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in pada Jumaat (13 Julai) mendesak Korea Utara dan Amerika Syarikat supaya mempercepatkan perjanjian untuk menamatkan program nuklear Pyongyang. 

Anggaran Waktu Membaca:
Korea Selatan, Korea Utara akan lakar 'pelan ekonomi baru' selepas program nuklear dilucutkan

President Korea Selatan Moon Jae-in menyampaikan ucapan di Institut ISEAS-Yusof Ishak pada 13 Jul 2018. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 13 Jul 2018 04:46PM Dikemas Kini : 13 Jul 2018 04:54PM

SINGAPURA: Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in pada Jumaat (13 Julai) mendesak Korea Utara dan Amerika Syarikat supaya mempercepatkan perjanjian untuk menamatkan program nuklear Pyongyang. Ini kerana Korea Utara tidak menunjukkan langkah-langkah yang tegas, sekaligus menimbulkan tanda tanya terhadap komitmennya.

Korea Selatan bersedia membina masyarakat ekonomi dengan Korea Utara sebaik saja program senjata nuklear Pyongyang dimansuhkan. Ini menurut Encik Moon dalam ucapannya semasa mengadakan lawatan ke Singapura.

Beliau juga menggesa Korea Utara dan Amerika Syarikat supaya mempercepatkan perjanjian untuk melucutkan program nuklear Pyongyang.

"Jika Pengerusi Kim (Jong Un) menepati janji untuk melucutkan senjata nuklear, beliau akan dapat memimpin negaranya ke arah kemakmuran," kata Encik Moon.

"Langkah berbuat demikian bukan mudah, tetapi jika perjanjian di sidang puncak dilaksanakan dengan ikhlas, matlamatnya akan dapat dicapai," tambahnya, sambil merujuk kepada pertemuan Pengerusi Kim dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Sentosa bulan lalu.

Semasa sidang puncak di Singapura, kedua-dua pemimpin berjanji untuk berusaha ke arah melucutkan semua senjata nuklear di Semenanjung Korea dan mengendurkan ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu, yang secara teknikal masih dalam keadaan berperang, sejak Perang Korea 1950-53 berakhir dengan gencatan senjata, dan bukan perjanjian damai.

Namun sejak mesyuarat pada 12 Jun, Pyongyang belum menunjukkan tanda-tanda untuk melucutkan program nuklearnya yang sudah mengakibatkan satu siri sekatan dikenakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa terhadap negara tersebut.

Bagaimanapun, Presiden Trump pada Khamis (12 Jul) mengalu-alukan "kemajuan besar" berdasarkan satu nota pada 6 Julai daripada Encik Kim di mana pemimpinKorea Utara itu mengatakan bahawa usaha mereka dapat membuka satu "lembaran baru" bagi kedua-dua negara.

Encik Moon berkata bahawa beliau percaya Encik Trump dan Encik Kim akhirnya akan mengotakan janji-janji yang dibuat kepada masyarakat antarabangsa.

Sumber : CNA/NA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan