Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Korban gempa Haiti melonjak kepada 1,297; penyelamat kejar masa cari mangsa

Angka korban akibat bencana buruk di Haiti meningkat kepada 1,297 orang pada Ahad (15 Ogos) sedang negara-negara jiran bergegas untuk menghantar bekalan bantuan manakala para penyelamat bergelut untuk mencari mangsa masih hidup yang terperangkap di bawah runtuhan sebelum ribut tropika melanda.

Anggaran Waktu Membaca:
Korban gempa Haiti melonjak kepada 1,297; penyelamat kejar masa cari mangsa

Orang ramai berkumpul di luar Hotel Petit Pas di Les Cayes pada 14 Ogos 2021 selepas gempa bumi melanda Haiti. (Gambar: Joseph Odelyn/AP)

Diterbitkan : 16 Aug 2021 10:17AM Dikemas Kini : 16 Aug 2021 10:18AM

PORT-AU-PRINCE: Angka korban akibat bencana buruk di Haiti meningkat kepada 1,297 orang pada Ahad (15 Ogos) sedang negara-negara jiran bergegas untuk menghantar bekalan bantuan manakala para penyelamat bergelut untuk mencari mangsa masih hidup yang terperangkap di bawah runtuhan sebelum ribut tropika melanda.

Gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter yang melanda pada Sabtu memusnahkan ribuan rumah dan bangunan di negara Caribbean itu. Bencana berlaku ketika negara itu masih dalam fasa pemulihan daripada satu lagi gempa besar yang menggegarkannya 11 tahun lalu serta insiden pembunuhan presidennya bulan lalu.

Barat daya Haiti menanggung sebahagian besar kesannya terutama di daerah sekeliling bandar Les Cayes.

Agensi Perlindungan Awam Haiti menyatakan angka korban daripada bencana alam itu melonjak kepada 1,297 dan hospital-hospital yang masih berfungsi bergelut untuk memberi rawatan buat sekitar 5,700 mangsa cedera yang sudahpun berdaftar setakat ini.

Cabaran yang dihadapi Haiti diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi yang bertambah buruk oleh keganasan kumpulan samseng serta krisis politik yang melanda negara bermasalah tersebut selepas pembunuhan Presiden Jovenel Moise pada 7 Julai lalu.

Negara-negara jiran termasuk Dominican Republic dan Mexico bergegas untuk mengirimkan bekalan makanan dan perubatan yang diperlukan secara mendesak. Penghantaran dilakukan melalui udara dan di sempadan darat Haiti.

Amerika Syarikat menghantar bekalan keperluan penting dan mengerahkan pasukan mencari dan menyelamat seramai 65 anggota dengan peralatan khas, kata Samantha Power, pentadbir Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID).  

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan