Images
  • mahathir asean summit
    (Gambar: Bernama)

Kontroversi khat: PM Mahathir dakwa persatuan sekolah-sekolah Cina amal sikap perkauman

SEPANG: Dr Mahathir Mohamad berkata terpulang kepada polis untuk menentukan sama ada Gabungan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong), perlu diharamkan atau tidak.

Perdana Menteri Malaysia itu hari ini (13 Ogos) berkata kumpulan itu menentang undang-undang jika ia terus mendorong dan menghasut rakyat supaya bergaduh antara satu sama lain.

"Kita ada kebebasan bersuara tetapi sentiasa bersikap sensitif mengelak daripada menghasut rakyat pelbagai kaum untuk bergaduh antara satu sama lain.

"Tapi Dong Zong hanya bercakap untuk satu kaum, dan lupa bahawa ini adalah negara pelbagai kaum,” kata beliau bila ditanya mengenai petisyen online, dilancarkan oleh sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang mendesak kumpulan pendidik Cina itu diharamkan.

Menurut laporan media, petisyen itu dibuat berikutan petisyen dilancarkan oleh Dong Zong pada Ahad menentang pengajaran tulisan khat Jawi di sekolah-sekolah vernakular.

DONG ZONG TIDAK PERNAH BERJUANG UNTUK M'SIA: MAHATHIR

Bercakap kepada para pemberita pada sambutan ulang tahun ke-21 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini, Dr Mahathir juga mengulangi kenyataannya semalam bahawa Dong Zong adalah sebuah kumpulan bersifat perkauman dan ia tidak pernah berjuang untuk Malaysia secara keseluruhannya, kecuali untuk satu kaum di negara ini.

"Ini negara pelbagai kaum, anda mesti juga memikirkan tentang perasaan kaum lain. Bila kita buat sesuatu kita perlu fikir apa kaum lain akan kata.

"Jika mereka tidak suka, mereka perlu cuba beri ruang,” kata beliau.

SALAH MELABEL DONG ZONG BERSIKAP PERKAUMAN: DAP

Komen-komen Dr Mahathir dikritik oleh para ahli politik Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Dalam satu kenyataan pada Selasa yang disiarkan media, penasihat DAP Lim Kit Siang menyifatkan kenyataan Dr Mahathir melabel Dong Zong sebagai bersikap perkauman adalah tindakan salah.

Bagaimanapun beliau turut menyuarakan pendirian bahawa Dong Zong tidak patut melemparkan dakwaan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan SJK Tamil adalah sebahagian usaha pengislaman.

DONG ZONG "TOLAK" label "PERKAUMAN"

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Dong Zong menolak label 'perkauman' yang dilontarkan perdana menteri terhadap mereka.

Sebaliknya, ia menyatakan bahawa ia bukan satu-satunya badan yang menentang pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu di sekolah Cina dan Tamil.

“Pandangan ini mewakili suara arus perdana dalam masyarakat bukan Islam di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Malah, bukan semua orang Melayu bersetuju dengan langkah ini. Sebagai contoh, Tan Sri Rafidah Aziz telah menyatakan bahawa seni khat harus dijadikan mata pelajaran elektif dan bukan wajib," menurut kenyataan itu.

- BERNAMA/Agensi berita/TQ/EM/tq

Top