Images
  • A. Ali
    (Gambar fail: Agensi berita)

Komposer tersohor A. Ali meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Komposer terkenal A. Ali atau nama sebenarnya Hamdan Atan meninggal dunia pagi ini (21 Nov).

Beliau yang juga bekas anggota kumpulan Kembara serta pengasas kumpulan Pelangi difahamkan meninggal dunia dalam tidur.

Ketika bersama Kembara, A. Ali terkenal dengan lagu Penjual Surat Khabar dan Oh Bulan.

Manakala dengan kumpulan Pelangi, A. Ali sempat popular dengan lagu berjudul Biarku Menjadi Lilin.

Sebagai komposer pula A. Ali diingati dengan lagu Menaruh Harapan dendangan Zaiton Sameon dan Rayuanku oleh Rohana Jalil serta beberapa lagu lain.

Sebelum menyertai Kembara bersama M. Nasir dan Sahlan, A. Ali merupakan pemain gitar untuk kugiran Sweet Charity.

Berita pemergian A. Ali dimaklumkan kepada Astro AWANI oleh isteri M. Nasir iaitu Marlia Musa.

- Agensi berita/HA/ha

Top