Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

KJ mahu 'mengaum' sebagai singa UMNO di Dewan Rakyat

Kalah atau menang dalam saingan merebut jawatan Presiden UMNO, calon presiden Khairy Jamaluddin mahu terus menjadi ‘Singa UMNO’ di Dewan Rakyat menentang kerajaan Pakatan Harapan.

Anggaran Waktu Membaca:
KJ mahu 'mengaum' sebagai singa UMNO di Dewan Rakyat

Encik Khairy Jamaluddin pada 25 Mac 2009 (Gambar fail: Saeed Khan/ AFP)

Diterbitkan : 29 Jun 2018 09:17AM Dikemas Kini : 29 Jun 2018 09:19AM

SEBERANG JAYA: Kalah atau menang dalam saingan merebut jawatan Presiden UMNO, calon presiden Khairy Jamaluddin mahu terus menjadi ‘Singa UMNO’ di Dewan Rakyat menentang kerajaan Pakatan Harapan.

Encik Khairy berkata, beliau akan terus bersuara dan memastikan UMNO menjadi sebuah parti pembangkang yang kuat pada persidangan Dewan Rakyat akan datang, lapor Astro AWANI.

Ujar beliau, jika kemenangan berpihak kepadanya, antara perkara yang akan dilakukan ialah menyediakan barisan menteri kabinet bayangan yang bertindak memantau dan menuntut janji 100 hari Kerajaan Pakatan Harapan.

"Saya kalau menang perkara pertama akan susun barisan menteri kabinet bayangan dalam Dewan Rakyat. Walaupun kita kalah tetapi kita parti kedua terbesar dalam Dewan Rakyat.

"Kita tunjuk kepada rakyat bahawa UMNO tuntut janji Pakatan Harapan 100 hari seperti harga minyak turun, tol percuma, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditangguhkan untuk anak muda, dan harga barangan.

"Kita mesti menunjukkan bahawa kita kuat, jangan buat sedih dan menyerah kalah (atas kekalahan). Kita mahu berunding dengan pihak lawan serta meminta nyawa daripada mereka.

"Perlu dipastikan bahawa kita parti yang ada maruah, kita parti yang ada harga diri kalau kita nak runding, biar berunding dengan singa yang sudah mengaum dalam Dewan Rakyat," katanya semasa berucap pada majlis Ramah Mesra Bersama Khairy Jamaluddin, di Seberang Jaya, Pulau Pinang malam semalam (28 Jun).

Hadir sama di majlis itu, Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Encik Reezal Merican Naina Merican dan Setiausaha Barisan Nasional Encik Omar Faudzar.

Astro AWANI melaporkan bahawa mantan Ketua Pemuda UMNO itu bertanding merebut jawatan presiden bersama dua lagi calon iaitu pemangku Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh Hamzah esok (30 Jun).

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan beliau tidak akan sesekali meninggalkan parti keramat Melayu itu sebaliknya akan terus kekal setia dengan parti dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

Ujarnya, beliau bertanding jawatan tertinggi parti itu dengan matlamat untuk menang kerana mahu membawa perubahan kepada parti dan tidak terfikir untuk berpaling tadah, lapor Astro AWANI.

"Setakat kalah jawatan presiden saya nak ke mana. Saya ada maruah dan harga diri. Kalau saya lompat, mana saya hendak letak muka saya.

"Kalau saya lompat nanti, Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) tampar saya. Saya dalam politik suka bercakap berbahas, berdebat. Oleh itu, jika tidak dtakdirkan saya jadi presiden parti, izinkan saya jadi singa UMNO dalam Parlimen," katanya.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan