Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Kisah pasangan 2 tokoh negara Dr Siti Hasmah, Dr Mahathir diangkat dalam bentuk layar perak

Kisah cinta dan pengorbanan lebih enam dekad isteri Perdana Menteri Malaysia, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, bersama Dr Mahathir Mohamad bakal diangkat dalam sebuah filem biopik dan cinta berjudul ‘Hasmah - Bila Deh Bertemu Det'.

Anggaran Waktu Membaca:
Kisah pasangan 2 tokoh negara Dr Siti Hasmah, Dr Mahathir diangkat dalam bentuk layar perak

PM Malaysia Mahathir Mohamad bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali. (Gambar: chedetofficial/Instagram)

Diterbitkan : 07 Oct 2019 11:43PM Dikemas Kini : 07 Oct 2019 11:51PM

KUALA LUMPUR: Kisah cinta dan pengorbanan lebih enam dekad isteri Perdana Menteri Malaysia, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, bersama Dr Mahathir Mohamad bakal diangkat dalam sebuah filem biopik dan cinta berjudul ‘Hasmah - Bila Deh Bertemu Det'.

Karya terbitan Tune Production Sdn Bhd. itu menyaksikan pelakon Nad, atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, melakonkan watak utama Dr Siti Hasmah dan Hasnul Rahmat pula sebagai Dr Mahathir.

Pengarah Urusan syarikat tersebut, Hafiz Rozlan, berkata filem berkenaan akan memulakan sesi penggambaraan selama 65 hari bermula Mac tahun depan. Ia melibatkan beberapa lokasi antaranya Perak, Kedah, Singapura, Kobe (Jepun) dan New York dan dijangka ditayangkan pada akhir 2020.

Beliau berkata filem tersebut berpandukan kisah sebenar yang dilalui Dr Siti Hasmah sejak dari kecil, sekolah dan setiap babak yang dilakonkan tiada tokok tambahnya mahupun ditukar daripada senario sebenar.

“Filem ini berkisahkan biopik dan cinta tentang perjalanan kehidupan beliau (Dr Siti Hasmah) - suka duka, pahit manis dan rintangan yang dilalui sebagai seorang isteri kepada perdana menteri,” kata Hafiz semasa majlis prapelancaran filem berkenaan yang dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith di Kuala Lumpur pada Isnin (7 Okt).

PAPARKAN KISAH-KISAH YANG TIDAK DIKONGSI DALAM BUKU BIOGRAFI DR HASMAH

Bercakap di satu sidang media,Hafiz berkata pihaknya belum lagi memuktamadkan pengarah filem berkenaan kerana masih dalam proses menilai calon yang paling layak dan terbaik.

Menurut beliau, filem tersebut dianggarkan menelan kos antara RM6 hingga RM7 juta (S$1.9 - S$2.3 juta).

“Untuk skrip pula, sekarang dalam proses (menulis) dan dijangka siap akhir bulan ini termasuklah kita semak dua kali dengan Dr Siti Hasmah sendiri mengenai cara beliau bercakap serta dialog dalam kisah itu.

“Selain menjadikan buku biografi (Dr Siti Hasmah) sebagai rujukan utama, kami juga akan bertanya kepada beliau untuk menceritakan apa yang berlaku semasa beliau dengan Dr Mahathir yang kisahnya tiada dalam buku itu,” ujar Hafiz lanjut.

Sementara itu, Nad sendiri tidak percaya akan ditawarkan watak selaku Dr Hasmah kerana sudah lama mengimpikan berlakon dalam genre biopik seumpama demikian. Beliau menganggap ia sebagai cabaran yang besar apatah lagi melakonkan watak seorang tokoh negara.

“Setakat ini, persediaan untuk saya melakonkan watak itu, saya sudah masuk kelas biola sebulan lebih dan juga banyak menonton video-video wawancara Dr Siti Hasmah serta juga membaca buku biografi beliau. Insya-Allah saya akan berjumpa dengan beliau dalam waktu terdekat untuk lebih mengenalinya,” kongsi Nad.

Sementara itu Encik Eddin Syazlee berkata filem tersebut harus ditonton bukan sahaja dari segi konteks kandungannya yang mengangkat sisi perjuangan wanita hebat sebagai isteri dan pemimpin kepada rakyat namun, kepentingan membawa genre sedemikian sebagai khazanah serta warisan kepada negara.

“Jika di luar negara, karya-karya hebat yang mengangkat perjuangan Wanita Pertama seperti Jacqueline Kennedy Onassis (Jackie) (Amerika Syarikat), Maria Eva Duarte de Peron (Evita) (Argentina) serta Habibie dan Ainun (Indonesia) menjadi wadah visual yang ikonik, saya percaya filem ‘Hasmah - Bila Deh Bertemu Det’ seperti ini mampu diterima di peringkat domestik dan antarabangsa,” ujarnya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan