Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kisah menyayat hati 2 wanita lanjut usia tinggal dalam kandang kambing

Nasib dua wanita sangat uzur ini begitu menyayat hati. Dek begitu miskin, wanita dikenali sebagai Mak Uka dan Mak Icih terpaksa berteduh di kandang kambing sejak berpuluh tahun lamanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Kisah menyayat hati 2 wanita lanjut usia tinggal dalam kandang kambing

Dua wanita ini hidup dalam kemiskinan. (Gambar: Bram Salam/Merdeka.com)

Diterbitkan : 07 Sep 2019 03:15AM Dikemas Kini : 07 Sep 2019 06:03AM

KARAWANG: Nasib dua wanita sangat uzur ini begitu menyayat hati. Dek begitu miskin, wanita dikenali sebagai Mak Uka dan Mak Icih terpaksa berteduh di kandang kambing sejak berpuluh tahun lamanya.

Kandang tersebut sekadar diperbuat daripada buluh. Ketika malam menerpa, kedua-duanya kesejukan. Keadaan dalam kandang pula gelap-gelita. Namun, disebabkan tiada pilihan lain dan tiada rumah, mereka bertahan di situ.

"Kalau waktu tidur, kami bersama kambing-kambing dan hanya bergantung kepada lampu minyak," cerita Mak Uka yang kini berusia 80 tahun.

(Gambar-gambar: Bram Salam/Merdeka.com) 

Selama ini, kedua-dua wanita tua itu dibantu para penduduk yang memberikan mereka makanan dan barang-barang yang diperlukan dalam kehidupan seharian. Kadang-kadang, mereka diberi upah apabila melakukan pekerjaan untuk para penduduk.

Melihat keadaan mereka, ada yang bagaimanapun tidak sampai hati memberi mereka pekerjaan berat.

"Namanya juga nenek-nenek, kerja semampunya. Upah yang diberikan seikhlasnya juga diterima. Ada beri wang kerana kasihan. Wang itu kami gunakan untuk makan sehari-hari," tambah Mak Uka.

Bercakap kepada media tempatan, warga setempat seperti Cik Ayu Retna Rassani berkata dua wanita uzur itu tidak menerima sebarang bentuk bantuan daripada pihak Pemerintah.

"Saya sempat bertemu mereka dan dua wanita bergelar janda itu mengesahkan mereka tidak pernah mendapat bantuan," kata Cik Ayu.

Beliau juga diberitahu, kadang-kadang mereka terpaksa kelaparan kerana tidak mempunyai bahan-bahan untuk dimasak.

"Mereka selalu kelaparan kerana mereka tidak ada wang," kata Cik Ayu lagi.

Beliau dan para tetangga lain berharap ada pihak yang akan tampil untuk membantu agar mereka dapat menjalani kehidupan lebih baik, kalau boleh di tempat yang lebih selesa juga. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan