Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kisah budak 12 tahun hilang keluarga sejurus pulang perlawanan bola sepak

Siapa sangka, ketika pulang selepas menyertai perlawanan bola sepak di luar kota, kampung halaman dibadai tsunami sehingga tinggal kemusnahan yang ada di depan mata. Orang yang dikasihi pula sudah tiada.

Anggaran Waktu Membaca:
Kisah budak 12 tahun hilang keluarga sejurus pulang perlawanan bola sepak

Petikan gambar dari video yang dimuat naik ke Twitter.

Diterbitkan : 29 Dec 2018 11:02AM Dikemas Kini : 29 Dec 2018 11:07AM

CARITA: Siapa sangka, ketika pulang selepas menyertai perlawanan bola sepak di luar kota, kampung halaman dibadai tsunami sehingga tinggal kemusnahan yang ada di depan mata. Orang yang dikasihi pula sudah tiada.

Itulah nasib malang yang menimpa seorang budak 12 tahun dikenali sebagai Adit.

Kisah Adit dikongsi oleh seorang jurucakap agensi bencana Indonesia, Encik Sutopo Purwo Nugroho, menerusi satu kiriman Twitter yang menarik perhatian ramai.

Kiriman Twitter itu disertakan dengan video yang menunjukkan seorang pegawai polis menenangkan Adit sedang dia terus menangis.

Menurut Encik Sutopo, Adit bercita-cita untuk menjadi seorang pemain bola sepak. Dia mengikuti satu perlawanan bola sepak bagi mewakili pasukan Lampung bagi para pemain berusia bawah 13 tahun.

Adit pulang ke kampung halamannya tanpa disambut sesiapa. Ini yang membuatnya menangis kerana berfikir akan terus hidup sebatang kara.

Menurut agensi berita Kumparan, ibu dan adik Adit sudah meninggal dunia. Mujur, kakaknya tidak terkorban. Media tempatan difahamkan bahawa Adit sudah mendapat khabar bahawa ayahnya juga terselamat, meskipun belum bertemu dengannya.

Pasukan perubatan yang berada di kawasan tempat tinggal Adit sempat kebingungan kerana budak itu terus menangis. Emosinya terganggu dan dia terus-menerus bertanya tentang keluarganya.

Adit turut dilaporkan sebagai seorang calon pemain pasukan nasional Indonesia.

Ramai yang memberi kata-kata semangat selepas membaca kiriman tweet Encik Sutopo. Malah, ada yang berharap peristiwa pahit ini tidak akan menghambat Adit untuk mencapai cita-citanya. Ada juga yang menggesa supaya dia terus diberi sokongan dan dijadikan pemain nasional.

Beratus-ratus cedera akibat tsunami yang disebabkan letusan gunung berapi Anak Krakatau pada 22 Dis. Sejauh ini, sekitar 430 orang disahkan maut tetapi angka korban dijangka terus meningkat.

Pada 27 Dis, pihak berkuasa Indonesia menaikkan tahap amaran bagi gunung berapi Anak Krakatau di Lampung, Sumatera, kepada paras kedua tertinggi ekoran letusan-letusan yang berlaku. Mereka juga menguatkuasakan zon larangan lima kilometer di sekeliling kawah gunung berapi Anak Krakatau. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan