Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kini jarum ditemui dalam buah anggur dari pasar raya Melbourne

Polis Australia sedang menjalankan siasatan selepas beberapa batang jarum ditemui di dalam buah anggur yang dibeli daripada sebuah pasar raya di Melbourne.

Anggaran Waktu Membaca:
Kini jarum ditemui dalam buah anggur dari pasar raya Melbourne

Petikan skrin video 9 News menunjukkan sebatang jarum yang ditemui dalam buah anggur.

Diterbitkan : 05 Jan 2019 06:23PM Dikemas Kini : 05 Jan 2019 06:26PM

MELBOURNE: Polis Australia sedang menjalankan siasatan selepas beberapa batang jarum ditemui di dalam buah anggur yang dibeli daripada sebuah pasar raya di Melbourne.

Skender Hasa dan pasangannya, Shams Alsubaiy, sedang memakan buah anggur hijau tanpa biji pada Selasa (1 Jan) selepas jamuan malam apabila tangan Cik Alsubaiy, yang hamil ketika ini, tercucuk jarum semasa mengambil sebiji anggur daripada bungkusan tersebut.

"Apabila kami memotong buah anggur itu, kami ternampak sebatang jarum," kata Encik Hasa kepada 9 News Melbourne pada Rabu (2 Jan).

Menurut Encik Hasa, beliau membeli buah anggur itu sehari sebelum insiden tersebut dari sebuah pasar raya Woolsworth di Cragieburn, Melbourne.

Dua batang jarum ditemui selepas pasangan itu memotong setiap buah anggur yang ada di dalam bungkusan tersebut.

Polis mengesahkan bahawa insiden itu sedang disiasat, manakala Woolsworth pula mengeluarkan satu kenyataan bahawa ia sedar mengenai insiden berkenaan dan ia akan "bekerjasama dengan pihak berkuasa yang sedang siasatan dijalankan".

Insiden itu adalah yang terbaru menyusuli insiden pencemaran buah-buahan pada September lalu, di mana lebih 200 kes dilaporkan mengenai jarum yang ditemui di dalam buah-buah strawberi di Australia.

Pada November lalu, seorang wanita berusia 50 tahun yang bekerja di salah sebuah ladang buah strawberi, di mana buah-buahan yang dicemari itu dihasilkan, diberkas. Wanita itu didakwa atas tuduhan mencemari barangan.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan