Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kim Jong Un kata AS 'punca utama' ketegangan di semenanjung Korea

Pemimpin Korea Utara yang bersenjata nuklear, Kim Jong Un, menyalahkan Amerika Syarikat atas ketegangan di semenanjung itu, lapor media negara hari ini (12 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Kim Jong Un kata AS 'punca utama' ketegangan di semenanjung Korea

Kim Jong Un (Gambar: KNCA)

Diterbitkan : 12 Oct 2021 09:02AM Dikemas Kini : 12 Oct 2021 09:09AM

SEOUL: Pemimpin Korea Utara yang bersenjata nuklear, Kim Jong Un, menyalahkan Amerika Syarikat atas ketegangan di semenanjung itu, lapor media negara hari ini (12 Okt).

Amerika Syarikat adalah "punca utama" ketidakstabilan, katanya dalam ucapan pembukaan di sebuah pameran pertahanan, menurut Badan Berita Pusat Korea (KCNA).

Pyongyang dikenakan banyak sekatan antarabangsa atas program senjata nuklear dan peluru berpandu balistiknya yang dilarang, namun menunjukkan kemajuan pesat di bawah kepimpinan Encik Kim.

Pada 2017 ia menguji peluru berpandu yang dapat sampai ke seluruh benua Amerika Syarikat dan melancarkan letupan nuklearnya yang paling kuat sejauh ini. Pyongyang menyatakan bahawa ia memerlukan senjata untuk melindungi dirinya daripada serangan Amerika Syarikat.

Pentadbiran Joe Biden berulang kali menyatakan bahawa ia tidak mempunyai niat memusuhi Korea Utara, tetapi Encik Kim memberitahu hadirin di pameran "Pertahanan Diri 2021": "Saya sangat hairan jika ada orang atau negara yang mempercayainya."

"Tidak ada asas dalam tindakan mereka untuk percaya bahawa ia tidak bersifat bermusuhan," tambahnya, menurut KCNA.

Ucapan Encik Kim disampaikan setelah Korea Utara dalam beberapa minggu kebelakangan ini menguji peluru berpandu jarak jauh dan apa yang dikatakannya sebagai senjata hipersonik.

Pada 2018, Kim menjadi pemimpin Korea Utara pertama yang bertemu dengan presiden Amerika Syarikat yang masih memegang jawatan, dalam satu sidang puncak di Singapura.

Namun proses rundingan itu menemui jalan buntu memandangkan pertemuan kedua di Hanoi pada tahun berikutnya berhubung pelonggaran sekatan gagal dan apa yang rela Pyongyang serahkan sebagai tukar ganti.

Pentadbiran Biden sudah menyatakan kesediaannya untuk bertemu pegawai Korea Utara pada bila-bila masa atau tempat, tanpa prasyarat, dalam usaha mencapai pelucutan nuklear.

Washington dan Seoul adalah sekutu keselamatan dan Washington menempatkan sekitar 28,500 anggota tentera di Korea Selatan sebagai pertahanan terhadap jirannya di utara, yang menyerang pada 1950.

Korea Selatan dan Amerika Syarikat mengadakan latihan ketenteraan bersama pada Ogos. Latihan tentera sering mencetus kemarahan Pyongyang, yang menyifatkannya sebagai persediaan untuk menyerang.

Korea Selatan juga meningkatkan kemampuan ketenteraannya sendiri, berjaya menguji peluru berpandu balistik daripada kapal selam pertama pada September dan mendedahkan peluru berpandu supersonik.

Encik Kim menuduh Korea Selatan sebagai hipokrit, dengan berkata bahawa "percubaan mereka yang tidak terhad dan berbahaya untuk memperkukuh kekuatan tentera sedang memusnahkan keseimbangan ketenteraan di semenanjung Korea dan meningkatkan ketidakstabilan dan bahaya ketenteraan". 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan