Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kim Jong Un gulung kongres dengan persembahan mega

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un menggulung kongres parti dengan mengadakan persembahan besar-besaran pada Rabu (13 Jan), menurut media negara itu namun tidak pula menyebut tentang perbarisan tentera.

Anggaran Waktu Membaca:
Kim Jong Un gulung kongres dengan persembahan mega

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan para pegawai lain di hari terakhir Kongres kelapan Parti Pekerja di Pyongyang, 12 Jan. (Gambar: KCNA via KNS/AFP)

Diterbitkan : 14 Jan 2021 08:22AM Dikemas Kini : 14 Jan 2021 08:24AM

SEOUL: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un menggulung kongres parti dengan mengadakan persembahan besar-besaran pada Rabu (13 Jan), menurut media negara itu namun tidak pula menyebut tentang perbarisan tentera.

Encik Kim dan para pegawai Korea Utara berhimpun di sebuah stadium tertutup di Pyongyang untuk menyaksikan persembahan-persembahan dari kumpulan-kumpulan seni belia.

Persembahan tersebut sebahagian besarnya mengagung-agungkan kepimpinan Encik Kim dan menekankan mesej kongres, lapor agensi berita KCNA hari ini (14 Jan).

Kongres itu, yang diadakan selama lapan hari di Pyongyang, adalah yang pertama sejak 2016 dan yang kedua diadakan sejak tahun 1980.

Persembahan tersebut adalah yang terkini sejak beberapa perhimpunan besar-besaran diadakan minggu ini di mana Encik Kim dan para hadirin yang lain tidak memakai pelitup atau menjaga jarak, berdasarkan gambar-gambar yang dikeluarkan oleh media negara itu.

Korea Utara tidak melaporkan sebarang kes positif COVID-19 tetapi ia mengambil langkah menutup sempadannya, menguatkuasakan sekatan perjalanan domestik dan langkah-langkah lain untuk mencegah penularan.

Media negara tiu juga tidak menunjukkan sebarang perarakan. Acara sedemikian menjadi tumpuan para pemerhati antarabangsa untuk meninjau teknologi baru tentera yang dibangunkan oleh Korea Utara, yang dikenakan sekatan antarabangsa disebabkan oleh program senjata nuklear dan peluru berpandunya.

Semalam (13 Jan), Kim Yo Jong, saudara perempuan Encik Kim yang juga anggota Jawatankuasa Pusat parti itu mengkritik tentera Korea Selatan kerana mengatakan terdapat tanda-tanda yang menunjukkan satu perbarisan diadakan di Pyongyang pada Ahad (10 Jan). Langkah itu menunjukkan "pendekatan bermusuhan" terhadap Korea Utara, kata beliau dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh KCNA.

Menjelang kongres tersebut, gambar-gambar satelit menunjukkan pasukan-pasukan tentera sedang berlatih seolah-olah sedang berkawat dan NK News, iaitu laman yang memantau Korea Utara, memetik satu sumber yang mengatakan mereka terdengar bunyi kenderaan berat memasuki Pyongyang pada Ahad.  

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan