Images
  • logo
    (Gambar hiasan: TENGKU BAHAR/AFP)

Kilang M'sia berdepan denda S$235,000 gara-gara logo halal tidak sah

IPOH, PERAK: Sebuah kilang makanan ringan di Chemor, Perak, Malaysia, berdepan dengan saman bernilai sehingga RM700,000 (S$235,000) jika disabit kesalahan kerana disyaki meletakkan logo halal tidak sah pada bungkusan makanan keluarannya.

Satu laporan Bernama menukil Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Perak, Shamsul Nizam Khalil yang berkata bahawa kilang yang sudah beroperasi selama 20 tahun itu juga didapati mengeluarkan produk kacang tanah yang tamat tempoh sijil halalnya.

"Hasil siasatan awal mendapati kilang tersebut pernah memiliki sijil pengesahan halal untuk produk kacang tanah pada 2014, tetapi telah tamat tempoh pada April 2016.

"Manakala, produk makanan ringan pek mainan (gula gula dalam kereta mainan) pihak kilang disyaki menggunakan logo halal tanpa kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam negeri," kata beliau dalam satu sidang media, hari ini (27 Jul).

Bernama melaporkan bahawa sehubungan itu, pihak penguat kuasa menyita sebanyak 479 unit pek mainan telah siap dibungkus, 445 unit pek mainan belum dibungkus dan 59 bungkusan kacang tanah bernilai RM1,198 (S$401) untuk siasatan lanjut.

Menurut laporan Bernama itu lagi, kes berkenaan disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011.

Encik Shamsul Nizam berkata bahawa sejauh ini, tiada penangkapan dibuat namun pihaknya merakam perbualan seorang lelaki, 45 tahun, yang mengaku sebagai pengurus kilang.

"Produk kilang tersebut yang dipasarkan kepada pemborong sekitar Perak dan Selangor juga perlu ditarik semula," kata beliau.

Sementara itu, Encik Shamsul Nizam berkata bagi kesalahan melibatkan isu halal, empat kes dikesan membabitkan nilai rampasan berjumlah lebih RM3,000 (S$1,005), bagi tempoh 1 Januari hingga 10 Julai 2018.

Ditukil mengenai operasi catut 4.0, menurut Encik Shamsul Nizam, bermula 1 Jun sehingga 26 Julai, pihaknya menerima sejumlah 92 aduan dan sudah menjalankan pemeriksaan terhadap 4,856 premis di sekitar Perak.

Daripada jumlah itu, 46,246 barangan diperiksa dan dua kertas siasatan dibuka, masing-masing melibatkan sebuah restoran makanan segera di Ipoh dan kedai menjual ubat-ubatan di Kampar.

Secara keseluruhannya, sebanyak 40,842 pemeriksaan dilakukan di Perak bagi tempoh 1 Januari hingga 26 Julai melibatkan 373 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM561,847 (S$188,207) dan denda berjumlah RM45,450 (S$15,232).

- Bernama/HS/hs

Top