Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Khidmat penghantar makanan diminta lebih sensitif pada bulan Ramadan

Pihak yang menjalankan perkhidmatan penghantar makanan diminta lebih sensitif terhadap kesucian bulan Ramadan dan tidak bersuhabat dengan mereka yang 'ponteng puasa'.

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat penghantar makanan diminta lebih sensitif pada bulan Ramadan

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 08 May 2019 07:27PM Dikemas Kini : 21 Mar 2023 09:54PM

MELAKA: Pihak yang menjalankan perkhidmatan penghantar makanan diminta lebih sensitif terhadap kesucian bulan Ramadan dan tidak bersuhabat dengan mereka yang 'ponteng puasa'.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Encik Mohd Sofi Abdul Wahab berkata tindakan mereka yang mempergunakan perhidmatan pengantaran makanan untuk 'ponteng puasa' ini tidak sepatutnya berlaku dan perlu dibanteras segera.

"Ia memudahkan orang Islam yang tidak berpuasa mendapat makanan dengan hanya membuat pesanan menerusi panggilan telefon. Oleh kerana bersubahat dengan kaki ponteng puasa, mereka (penghantar makanan) juga perlu diambil tindakan,” katanya kepada Bernama hari ini (8 Mei).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejayaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menghidu tindakan licik individu kaki ponteng puasa mendapat makanan menerusi khidmat penghantar makanan pada hari pertama Ramadan, Isnin lepas.

Media sebelum ini melaporkan dua lelaki bermotosikal dipercayai penghantar makanan berjaya meloloskan diri ketika menghantar makanan kepada kaki ponteng puasa di kawasan terpencil sekitar Melaka Tengah.

Seorang penduduk Melaka, Encik Mohd Sanusi Othman, 34 tahun, dari Ayer Keroh berkata dalam perkara ini penghantar makanan tidak boleh disalahkan 100 peratus. Sebaliknya peniaga makanan dan syarikat penghantaran makanan perlu diambil tindakan kerana mereka yang menerima pesanan daripada orang Islam yang tidak berpuasa.

“Penghantar makanan ini hanya menghantar untuk mencari rezeki. Setahu saya syarikat penghantar makanan atau peniaga makanan tahu siapa pelanggan mereka dan boleh menolak pesanan jika tidak ingin bersubahat sama,” katanya.

Bagi Cik Siti Safiah Ab Rahman, 41 tahun, dari Bukit Beruang pula berpendapat pihak berkuasa perlu memperluas penguatkuasaan undang-undang agar semua mereka yang bersubahat dalam kegiatan ponteng puasa dapat diambil tindakan.

“Kemudahan pesanan makanan secara online dan penghantaran makanan ke rumah memudahkan lagi kaki ponteng puasa melakukan aktiviti terkutuk mereka. Oleh itu, tindakan tegas perlu diambil sebagai pengajaran kepada mereka yang terlibat sama dalam aktiviti ini,” katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan