Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Khidmat Facebook dilanda gangguan merata dunia

Syarikat gergasi media sosial Facebook memaklumkan pada Rabu (3 Jul) akan gangguan ke atas wadah-wadahnya yang menjejas para pengguna di merata dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat Facebook dilanda gangguan merata dunia

Petikan-petikan gambar menunjukkan isu-isu gangguan (dari kiri ke kanan) ke atas Facebook, Instagram dan WhatsApp.

Diterbitkan : 04 Jul 2019 07:57AM Dikemas Kini : 04 Jul 2019 08:01AM

SAN FRANCISCO: Syarikat gergasi media sosial Facebook memaklumkan pada Rabu (3 Jul) akan gangguan ke atas wadah-wadahnya yang menjejas para pengguna di merata dunia.

Menurut Facebook: "Semasa salah satu operasi penyelenggaraan rutin, kami tercetuskan isu yang membuatkan sesetengah pengguna mengalami masalah untuk memuat naik atau menghantar gambar dan video".

Syarikat tersebut masih lagi sedang menyiasat kesan keseluruhan akibat isu itu.

Awal dari itu, khidmat pemantauan online DownDetector melaporkan tentang gangguan tersebut mulai sekitar jam 1200 GMT (8.00 malam waktu Singapura) dan menjejas Facebook serta aplikasi-aplikasi media sosial Instagram dan WhatsApp.

Ia menambah bahawa lebih 14,000 pengguna melaporkan tentang masalah yang dialami di Instagram sementara 7,500 dan 1,600 pula masing-masing mengadu mengenai Facebook dan WhatsApp.

#Facebookdown dan #instagramdown trending di Twitter apabila para pengguna seluruh dunia melaporkan di wadah berkenaan tentang aplikasi-apllikasi tidak berfungsi itu.

Dalam catatan Twitter, Facebook menyatakan: "Kami sedar sesetengah pengguna sedang mengalami masalah untuk memuat naik atau menghantar gambar, video dan fail lain di aplikasi kami. Kami minta maaf atas masalah ini dan sedang berusaha untuk memulihkan keadaan kembali seperti biasa dengan secepat mungkin."

Peta gangguan secara 'live' oleh DownDetector menunjukkan masalah tersebut terutamanya menjejas bahagian Eropah dan Amerika Syarikat.

Gangguan Facebook pada 3 July 2019 menjejas negara-negara seperti Malaysia, Vietnam dan Filipina selain Singapura. (Gambar: Laman web Down Detector)

Gangguan Facebook pada 3 July 2019 menjejas negara-negara seperti Malaysia, Vietnam dan Filipina selain Singapura. (Gambar: Laman web Down Detector)

Laporan para pengguna di Singapura yang tidak dapat memuat naik atau memuat turun gambar di wadah-wadah media sosial berkenaan sampai ke kemuncaknya pada sekitar 10.00 malam. Seperti yang sudah menjadi kebiasaan, mereka beralih ke Twitter untuk melepaskan kekecewaan.

Facebook, yang meraih puluhan juta dolar hasil daripada pengiklanan sehari, enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada ia akan memberi wang pulangan kepada perniagaan.

Aplikasi tersebut mengalami dua gangguan serupa awal tahun ini.

Pada bulan Mac, Facebook mengalami masalah yang berlarutan dengan para pengguna seluruh dunia tidak dapat mengakses aplikasi mereka selama lebih 24 jam disebabkan oleh "perubahan konfigurasi server."

Sebulan kemudian, para pengguna sekali lagi mengalami masalah untuk mengakses rangkaian media sosial serta khidmat mesej dan melaporkan isu-isu seperti mereka tidak dapat melihat urutan kemaskini di wadah-wadah media sosial ataupun mengirimkan mesej.  

Sumber : Agensi berita/CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan