Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Khazanah rugi kesan pelaburan kerajaan dahulu: Azmin Ali

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Azmin Ali bertikam lidah dengan bekas perdana menteri Najib Razak di media sosial hari ini (6 Mac), selepas diumumkan bahawa dana pelaburan kerajaan Malaysia, Khazanah, menanggung kerugian lebih RM6 bilion (S$2 bilion).

Anggaran Waktu Membaca:
Khazanah rugi kesan pelaburan kerajaan dahulu: Azmin Ali

Gambar fail Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Azmin Ali dan bekas perdana menteri Najib Razak. (Gambar-gambar: Reuters, Bernama)

Diterbitkan : 06 Mar 2019 11:43PM Dikemas Kini : 06 Mar 2019 11:48PM

KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Azmin Ali bertikam lidah dengan bekas perdana menteri Najib Razak di media sosial hari ini (6 Mac), selepas diumumkan bahawa dana pelaburan kerajaan Malaysia, Khazanah, menanggung kerugian lebih RM6 bilion (S$2 bilion).

Encik Najib mengkritik prestasi Khazanah dengan mengatakan bahawa dana itu meraih keuntungan sebelum diambil alih oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Encik Azmin mempertahankan prestasi Khazanah dalam satu siri tweet, meminta supaya tidak dipersalahkan kerana "di sebalik setiap masalah yang berlaku ada harapan".

"Keuntungan dan kerugian Khazanah: Masalah masa kini adalah beberapa ahli politik, lazimnya para menteri yang gagal, berkata-kata dahulu sebelum periksa. Akhirnya, ia seperti meludah ke langit," tulis Encik Azmin dalam tweetnya pada hari Selasa (5 Mac).

Encik Azmin berkata bahawa keputusan-keputusan yang kurang bijak dan pelaburan besar dalam Malaysia Airlines semasa pentadbiran Encik Najib menyebabkan Khazanah mengalami kerugian itu.

Menurut catatan Encik Azmin, kerugian yang dialami adalah "hasil semakan terhadap aset-aset dan pelaburan-pelaburan yang dibuat sebelum kerajaan baru mengambil alih."

"Setiap ujian ada hikmahnya. Lihat tahun 2018 sebagai satu pembersihan aset-aset bermasalah yang tertinggal di dalam portfolio.

Selepas mengambil langkah-langkah ini, saya berani mengatakan bahawa Khazanah akan mengembalikan keuntungan pada tahun 2019," tulis Encik Azmin dalam satu tweet.

Pengarah Urusan Khazanah, Encik Shahril Ridza Ridzuan dilaporkan berkata bahawa keuntungan terjejas akibat kurang pelepasan saham, pengurangan pendapatan dividen dan kerugian yang lebih tinggi semasa tempoh peralihan dalam pasaran yang tidak menguntungkan.

Membalas pengumuman tersebut, Encik Najib menulis di Facebook bahawa Khazanah tidak pernah mengalami kerugian semasa pentadbirannya.

Encik Najib mengatakan bahawa ketika beliau menyandang jawatan perdana menteri, nilai aset bersih Khazanah melonjak kepada RM82.3 bilion (S$27.3 bilion) daripada RM33.7 bilion (S$11.2 bilion) pada akhir tahun 2008 dan kepada RM116 bilion (S$38.5 bilion) pada akhir tahun 2017.

Sejak diambil alih PH, nilai Khazanah jatuh sebanyak RM25 bilion (S$8.3 bilion) kepada RM91 bilion (S$30.2 bilion), tambahnya lagi.

Encik Najib juga mengeluarkan satu lagi catatan yang menyatakan bahawa "RM25 bilion bukan satu jumlah yang kecil. Ia boleh melunaskan hampir kesemua hutang 1MDB (1Malaysia Development Berhad) atau separuh daripada kos ECRL (Link Pantai Timur), iaitu RM55 bilion (S$18.3 bilion)."

Hari ini, Encik Najib mengeluarkan satu lagi catatan: "RM25 bilion (S$8.3 bilion) lenyap dalam hanya setahun. Beliau (Encik Azmin) tidak boleh meminta orang untuk melupakannya seperti itu sahaja."

Sumber : CNA/IL/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan