Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Khairy Jamaluddin pemimpin pembangkang paling popular, diyakini

Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, menjadi pemimpin pembangkang "paling popular dan dipercayai" berdasarkan satu kaji selidik yang dilaporkan oleh beberapa media tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Khairy Jamaluddin pemimpin pembangkang paling popular, diyakini

Khairy Jamaluddin ketika ditemui di ceramah ISEAS.

Diterbitkan : 17 Oct 2019 10:13AM Dikemas Kini : 17 Oct 2019 10:15AM

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, menjadi pemimpin pembangkang "paling popular dan dipercayai" berdasarkan satu kaji selidik yang dilaporkan oleh beberapa media tempatan.
Kaji selidik itu dijalankan oleh firma perhubungan Citrine One Sdn Bhd dengan kerjasama Callmark Solution Sdn Bhd. Mereka juga memaparkan demografi yang digunakan dalam kaji selidik berkenaan.

Bagaimanapun, lapor Malaysiakini, terdapat sedikit masalah dari segi perwakilan populasi Malaysia dan sama ada keputusan kaji selidik mencerminkannya.

Antaranya, ia melibatkan 1,115 responden merangkumi Melayu (29 peratus), Cina (34 peratus), India (24 peratus) dan kaum lain (13 peratus) yang jauh berbeza dengan demografi kebangsaan atau mana-mana negeri.

Menurut Jabatan Statistik, anggaran warga pada 2019 ialah Bumiputera (69.1 peratus), Cina (23 peratus), India (6.9 peratus) dan kaum lain (satu peratus).
Selain itu, lebih separuh responden (58 peratus) adalah daripada Kuala Lumpur dan Selangor.

Responden dari negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang masing-masing hanya merangkumi satu peratus sementara responden dari Malaysia Timur pula tujuh peratus.

TIDAK TERIMA DANA OLEH MANA-MANA PIHAK

Ketika sidang media untuk mengumumkan dapatan kaji selidik di Kuala Lumpur pada Rabu (16 Okt), wakil pengurusan Citrine One, Ivilyn Yap, mengakui kaji selidik tersebut tidak mewakili seluruh pengundi.

"Kaji selidik ini tidak mewakili seluruh negara," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau juga berkata Citrine One tidak menerima dana daripada mana-mana pihak untuk membuat kaji selidik tersebut.

Sementara itu, dalam kenyataan balas terhadap laporan Malaysiakini, rakan pengurusan Citrine One iaitu Sharves Bala berkata kaji selidik tersebut tidak dibuat sebagai analisis bersifat politik atau bertujuan untuk mengukur keutamaan mengundi responden.

"Kaji selidik kami semata-mata untuk mengukur keberkesanan strategi komunikasi yang dikerahkan parti pembangkang dan pemimpinnya.

"Pengukuran dibuat berdasarkan unsur-unsur komunikasi sebagai bidang kepakaran kami. Ini bukan analisis politik atau tinjauan untuk memahami kecenderungan responden dengan cara apa sekali pun.

"Artikel ini cuba untuk memenuhi syarat demografi tinjauan kami dengan membandingkannya dengan kaji selidik politik kerana tujuan kami hanya melihat dari perspektif komunikasi saja.

"Status pengundi responden bukan prasyarat untuk tinjauan kami kerana kami memberi tumpuan kepada bagaimana responden memikirkan parti pembangkang dan pemimpin yang berkomunikasi," jelas beliau.

Kenyataan media berkenaan kaji selidik tersebut menyatakan 80 peratus responden memberi markah purata lima hingga lapan kepada Khairy.

Responden diminta memberi markah kepada beberapa pemimpin pembangkang antara satu (paling tidak popular) hingga lapan (paling popular).

Sejumlah 40 peratus memilih Khairy sebagai pilihan utama dengan markah "8". Di tempat kedua ialah bekas perdana menteri Najib Razak - yang kini berdepan perbicaraan mahkamah berkenaan skandal 1MDB - dengan 36 peratus.

Tempat ketiga pula jatuh kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang dipilih 10 peratus responden.

"Responden juga memilih Khairy sebagai pemimpin pembangkang paling dipercayai, menerusi soalan subjektif, dengan 170 sebutan daripada 357 responden yang menjawab soalan itu," menurut kenyataan tersebut lagi seperti dipetik Malaysiakini.

Kira-kira 33 peratus responden berkata "kelantangan" merupakan faktor utama untuk mereka memilih pemimpin pembangkang paling popular.

Cik Yap berkata: "Populariti dan kebolehpercayaan KJ (Khairy Jamaluddin) menunjukkan era di mana ketua parti mendapat undi popular terbanyak sudah berlalu."

"Rakyat tampaknya menuju ke arah undian berdasarkan kelantangan pemimpin serta kejelasan pemikiran ketika berkomunikasi dan konsisten dalam komunikasi.

"Tambahan pula, kaji selidik dibuat ketika KJ sebenarnya membisu selepas Dato' Seri Najib (Abdul Razak) menjadi penasihat kepada Umno," ujarnya lagi.

Bagaimanapun, kaji selidik yang dijalankan antara 13 September hingga 3 Oktober itu tidak menjelaskan sama ada responden berdaftar sebagai pengundi atau tidak.

Kaji selidik itu juga mendapati Umno sebagai parti pembangkang "paling popular" apabila dipilih 30 peratus responden.

PAS mendapat tempat kedua dengan 13 peratus manakala MCA dan Gerakan berkongsi tempat ketiga dengan tujuh peratus. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan