Images
  • bahrun naim
    Pengganas Bahrun Naim yang dikhabarkan mati di Syria. (Gambar: Facebook / Info Dunia & Militer)

Ketua polis Indonesia sangsi dengan berita kematian pengganas berpengaruh, Bahrun Naim

INDONESIA: Ketua Polis Republik Indonesia, Jeneral Tito Karnavian, melahirkan rasa curiga tentang maklumat mengenai kematian salah seorang ketua pengganas rantau ini, Bahrun Naim. Khabar-khabar angin menyatakan bahawa pengganas berpengaruh itu sudah mati di Syria.

Jeneral Tito turut mengesyaki bahawa berita tersebut hanya muslihat kelompok pengganas.

"Mungkin sahaja dia sudah mati, mungkin tidak. Ini muslihat supaya dia tidak diburu lagi," kata Jeneral Tito hari ini (5 Dis) seperti ditukil laman Liputan6 dari Indonesia.

Mentelah lagi menurut beliau lagi, maklumat mengenai kematian Bahrun Naim ketika ini hanya tersebar luas di laman-laman media sosial, yang juga dalang dalam komplot serangan Marina Bay.

Di pihaknya, Jeneral Tito mendedahkan bahawa pihak polis Indonesia akan terus bekerjasama dengan Interpol untuk mendapatkan pengesahan maklumat, sama ada Bahrun Naim sudah mati atau tidak.

Sejauh ini, tiada pengesahan yang boleh dilakukan ke atas berita tersebut.

"Kami masih belum lagi mengesahkannya, sehingga kami dapat orang yang mendapatkan maklumat dengan dirinya sendiri dari jaringan pengganas itu, barulah kami dapat mengesahkannya," kata Jeneral Tito kepada agensi berita Indonesia Liputan6.

Menurutnya lagi, Bahrun Naim amat berpengaruh dalam lingkungan pengganas di Indonesia. Jeneral Tito mengatakan bahawa Bahrun Naim bertanggungjawab atas serangan bom di Jalan MH Thamrin pada tahun 2015.

"Dia memiliki hubungan dengan tokoh-tokoh pengganas di Indonesia. Peranannya sama seperti Hambali semasa zaman Al-Qaeda dan JI (Jemaah Islamiyah)," dedah Jeneral Tito.

IBU BAHRUN NAIM "BELUM TAHU" KEADAANNYA

Bahrun Naim dikatakan mati dalam pertempuran di Syria. Namun demikian, ibunya sendiri belum menerima sebarang berita mengenai kematian tersebut.

Pantauan agensi berita Liputan6 di luar kediaman keluarga Bahrun Naim di Solo kelihatan tenang dan lengang.

Menjawab pertanyaan wartawan Liputan6, ibu Bahrun Naim mengatakan bahawa beliau belum tahu mengenai kematian anaknya itu.

"Saya tidak tahu. Saya belum terima beritanya," dedah ibunya kepada wartawan di kediamannya semalam (4 Dis).

Beliau turut meminta wartawan untuk mencari lebih banyak maklumat mengenai kematian Bahrun Naim itu dan memberitahu peguam keluarganya.  

LAPORAN BERKAITAN:

- Agensi Berita/FA/fa

Top