Images
  • msia
    (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Ketua Menteri Sabah harap M'sia dikeluarkan daripada senarai penculikan

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Encik Mohd Shafie Apdal berharap Amerika Syarikat (AS) akan mengeluarkan Malaysia daripada senarai ‘K’, iaitu berpotensi untuk penculikan di pantai timur negeri itu. 

Beliau berkata Sabah adalah sebuah negeri yang selamat dikunjungi dan para pelancong dari China dan Eropah masih berduyun-duyun datang ke negeri itu, termasuk Semporna dan Pulau Sipadan.           

“Saya berharap permintaan Kementerian Luar untuk mengeluarkan Malaysia (daripada senarai itu akan diberikan perhatian) dan kawasan itu adalah selamat untuk dikunjungi. Keadaan adalah terkawal dan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.

Insiden (penculikan) berlaku sebelum ini tetapi kami melakukan yang terbaik bagi memastikan bukan sahaja keselamatan diperketatkan malah pemantauan dipertingkatkan di kawasan itu,” katanya.   

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar di Pusat Pentadbiran Sabah, semalam (15 Apr).

Encik Mohd Shafie berharap Amerika Syarikat boleh memberi maklumat mengenai sebarang kemungkinan ancaman di kawasan itu dengan berkongsi maklumat risikan. 

Baru-baru ini, Jabatan Negara Amerika Syarikat sudah menandakan “K” ke atas 34 negara yang dikenal pasti mempunyai risiko penculikan dan pengambilan tebusan oleh penjenayah dan pengganas, termasuk Malaysia.

Untuk Malaysia, timur Sabah ditandakan sebagai sebuah wilayah dengan peningkatan risiko penculikan.

- BERNAMA/NA/na

Top