Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ketua jabatan hospital dituduh lakukan gangguan seksual

Ketua jabatan di sebuah hospital yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap doktor pelatih mengambil cuti.

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua jabatan hospital dituduh lakukan gangguan seksual

(Gambar hiasan: Mediacorp)

Diterbitkan : 01 Aug 2018 04:38PM Dikemas Kini : 01 Aug 2018 04:42PM

KUALA LUMPUR: Ketua jabatan di sebuah hospital yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap doktor pelatih mengambil cuti.

Memetik sumber, MStar melaporkan pegawai kanan perubatan itu dimaklumkan supaya bercuti selepas laporan media berhubung dakwaan gangguan seksual berkenaan menyorot perhatian ramai.

Kelmarin (30 Jul) Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengeluarkan kenyataan bahawa kementerian akan menubuhkan Badan Penyiasatan Bebas untuk menyiasat dakwaan gangguan seksual ke atas doktor pelatih oleh seorang ketua jabatan di sebuah hospital di Lembah Klang.

Badan tersebut akan menggabungkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensi kerajaan berkaitan untuk tujuan tersebut, lapor Malaysiakini.

KKM menyeru semua mangsa yang menghadapi kekerasan atau gangguan di tempat kerja sama ada dalam bentuk fizikal, lisan, mental atau seksual untuk membuat aduan langsung kepada Menteri Kesihatan di alamat emel drdzul [at] moh.gov.my.

Pada Ahad (29 Jul), The Star melaporkan kes melibatkan gangguan seksual dan buli oleh seorang ketua jabatan ortopedik di sebuah hospital di Lembah Klang.

Akhbar itu turut mewawancara beberapa pegawai perubatan mengenai pengalaman mereka dengan seorang doktor ketua jabatan Ortopedik di sebuah hospital di Lembah Klang yang mendakwa seringkali menggunakan kuasa dan kedudukannya bagi mensasarkan para pegawai perubatan wanita muda.

Menurut Malaysiakini, seorang pegawai perubatan mendedahkan lelaki tersebut cuba membuka butang baju dan menciumnya selepas memanggilnya untuk berbincang mengenai hal berkaitan kerja.

Individu yang sama, dakwa doktor muda itu, memintanya untuk keluar minum bersamanya dan kemudian cuba menyentuhnya dalam keadaan tidak sopan.

Pegawai perubatan itu turut mendakwa ketua jabatannya itu mengancam untuk menggagalkan ujian komponen bukan akademik jika beliau tidak menuruti kemahuan lelaki berkenaan. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan