Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ketua Eksekutif HK mohon maaf susuli bantahan besar-besaran

Sekitar dua juta penunjuk perasaan membanjiri jalan raya Hong Kong dalam bantahan keras terhadap rang undang-undang ekstradisi yang diselar penduduk tempatan, menurut pihak penganjur bantahan pada Ahad (16 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Jun 2019 10:40AM Dikemas Kini : 17 Jun 2019 11:09PM

HONG KONG: Sekitar dua juta penunjuk perasaan membanjiri jalan raya Hong Kong dalam bantahan keras terhadap rang undang-undang ekstradisi yang diselar penduduk tempatan, menurut pihak penganjur bantahan pada Ahad (16 Jun).

Bantahan itu menambahkan lagi tekanan terhadap pemimpin bandar itu yang pro-Beijing setelah beliau memohon maaf kerana menyebabkan "konflik" tetapi beliau enggan meletak jawatan.

Tindakan keras oleh pemerintah Hong Kong mencetuskan perarakan selama berjam-jam untuk menuntut Ketua Eksekutif Carrie Lam supaya meletak jawatan. Beliau sudahpun menggantung perbahasan rang undang-undang esktradisi tersebut di tengah-tengah kemarahan penduduk tempatan.

Para penunjuk perasaan yang berpakaian serba hitam mengadakan perarakan sejauh berbatu-batu menyusuri jalan-jalan raya hingga ke bangunan parlimen bandar itu.

Pihak penganjur menganggarkan jumlah penunjuk perasaan adalah seganda lebih tinggi berbanding jumlah penunjuk perasaan yang sudahpun memecah rekod semasa bantahan pada Ahad sebelumnya di bandar seramai 7.3 juta penduduk itu.

Anggaran itu belum disahkan tetapi jika benar, ini bermakna perhimpunan terbaru itu merupakan bantahan terbesar dalam sejarah Hong Kong.

Pihak polis, yang biasanya mengeluarkan anggaran jumlah penunjuk perasan lebih rendah daripada bilangan sebenar bagi kes-kes bantahan politik, menyatakan, 338,000 orang menyertai 'kemuncak' bantahan pada Ahad.

Pejabat Cik Lam mengeluarkan kenyataan pada Ahad sambil mengaku bahawa kekurangan dari segi cara pentadbirannya menangani perbahasan rang undang-undang tersebut, "membawa kepada banyak konflik dan pertikaian" dan "menghampakan dan membimbangkan ramai rakyat".

Ini berlaku sehari selepas Cik Lam mengumumkan bahawa beliau akan menggantung perbahasan undang-undang itu.

Namun ia tidak memenuhi tuntutan para penunjuk perasaan yang menggesa agar beliau meletak jawatan, menggugurkan rang undang-undang tersebut sama sekali dan memohon maaf atas tindakan polis menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah awal minggu lalu.

KEMARAHAN TERHADAP POLIS

Hab kewangan antarabangsa itu digegarkan pada Rabu oleh keganasan politik yang paling dahsyat sejak berpuluh-puluh tahun lalu, sedang polis antirusuhan cuba menyuraikan para penunjuk perasaan.

Ramai yang menuduh polis menggunakan kekerasan yang keterlaluan, dan kemarahan memuncak setelah pihak berkuasa menyifatkan para penunjuk perasaan yang kebanyakannya belia sebagai 'perusuh'.

Hampir 80 orang cedera dalam pertempuran itu - termasuk 22 pegawai polis - dengan kedua-dua pihak menunjukkan kecenderungan untuk meningkatkan kekerasan ke tahap yang tidak pernah disaksikan di bandar yang lazimnya aman itu.

Polis menyatakan pihaknya tiada pilihan lain kecuali menggunakan kekerasan untuk bertindak terhadap para penunjuk perasaan ganas yang mengepung kawasan luar bangunan parlimen Hong Kong.

Namun para pengkritik - termasuk kumpulan-kumpulan peguam dan hak asasi - berkata para pegawai bertindak ganas terhadap sekumpulan penunjuk perasaan yang kecil sebagai alasan untuk melancarkan tindakan keras yang luas terhadap perhimpunan aman yang kebanyakannya merangkumi golongan belia.

Sumber : AFP/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan