Images
  • evergiven free
    Kapal kargo raksasa Ever Given ditarik kapal tunda di Terusan Suez pada 29 Mac 2021. (Gambar: AFP PHOTO/HO/Suez Canal)

Kesesakan Terusan Suez diatasi setelah kapal kargo berjaya digerakkan semula

KAHERAH: Lalu lintas perkapalan melalui Terusan Suez Mesir disambung semula pada Isnin (29 Mac) setelah kapal kontena raksasa yang menyekat laluan yang sibuk untuk hampir seminggu itu diapungkan semula, menurut pihak berkuasa terusan itu.

Seorang saksi Reuters melihat kapal itu bergerak dan pengesan perkapalan serta saluran TV Mesir menunjukkan ia berada di tengah terusan.

"Laksamana Osama Rabie, ketua Penguasa Terusan Suez, telah mengumumkan penyambungan semula lalu lintas perkapalan di Terusan Suez," menurut Penguasa Terusan Suez (SCA) dalam satu kenyataan.

Rakaman televisyen menunjukkan kru kapal tunda membunyikan hon sebagai meraikan kapal itu dibebaskan.

Perkembangan itu menyusuli apa yang kelihatan sebagai satu rintangan dan berlaku sejurus selepas kapal itu kembali buat sementara ke kedudukan mereng seperti sebelum ini, selepas ia terkandas pada Selasa lalu.

Dibantu oleh paras air pasang tertinggi, sekumpulan kapal tunda akhirnya berjaya melepaskan kapal itu dari tebing berpasir terusan itu, lantas membebaskannya.

Setelah menarik kapal penuh sarat seberat 220,000 tan itu dari tebing terusan, pasukan penyelamat menarik kapal tersebut ke arah Great Bitter Lake, hamparan air yang luas antara bahagian utara dengan selatan terusan, di mana kapal itu akan menjalani pemeriksaan teknikal, kata pihak berkuasa terusan.

Data satelit dari MarineTraffic.com mengesahkan bahawa kapal itu bergerak jauh dari tebing menuju ke tengah terusan.

Evergreen Line menyatakan pada Isnin bahawa kapal kontena Ever Given akan diperiksa untuk kesesuaian terus berlayar.

Syarikat tersenarai di bursa Taiwan itu, yang menyewa kapal tersebut, menyatakan keputusan mengenai muatan kapal akan dibuat selepas pemeriksaan dan pihaknya akan melakukan penyelarasan dengan pemilik kapal setelah laporan siasatan selesai.

- Agensi berita/TQ/tq

Top