Images
  • covid virus microscope
    Virus SARS-CoV-2, yang menyebabkan jangkitan COVID-19. (Gambar: NIAID)

Kesan virus korona akan dirasakan jauh ke masa depan: WHO

GENEVA: Wabak virus korona adalah sejenis bencana yang kesannya akan berlarutan jauh ke masa depan, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Jumaat (31 Jul).

"Pandemik itu adalah satu krisis kesihatan yang berlaku sekali dalam seabad dan kesannya akan dirasakan untuk beberapa dekad akan datang," kata Dr Tedros dalam satu mesyuarat bersama jawatankuasa darurat WHO, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berkenaan.

Pandemik COVID-19 sudah pun meragut nyawa lebih daripada 670,000 orang sejak ia muncul di Wuhan, China dengan lebih daripada 17 juta kes disahkan.

Amerika Syarikat, Brazil, Mexico dan Britain terutama sekali terjejas teruk dalam beberapa minggu kebelakangan ini akibat penyakit COVID-19, sedang pemerintah negara berkenaan menghadapi cabaran melakarkan tindak balas yang berkesan.

Ekonomi negara turut terjejas teruk oleh sekatan pergerakan yang dikuat kuasa bagi membendung penularan virus itu, dengan banyak bahagian di dunia bimbang akan gelombang jangkitan kedua.

Sementara itu, lebih daripada 150 syarikat farmaseutikal sedang berusaha membangunkan vaksin meskipun penggunaan vaksin hanya boleh dijangkakan pada awal 2021, kata WHO pada minggu lalu.

Meskipun pengetahuan mengenai virus baru itu semakin berkembang, banyak soalan belum lagi terjawab dan para penduduk terus menghadapi risiko, kata Dr Tedros pada Jumaat.

- Reuters/HA/ha

Top