Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes Syed Saddiq: Blogger kontroversi dipanggil polis

Polis Malaysia sudah memanggil dua individu, termasuk blogger kontroversi Papagomo, bagi membantu siasatan berhubung insiden di mana Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa dikasari dan diugut oleh blogger berkenaan di Kajang pada Sabtu (16 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Kes Syed Saddiq: Blogger kontroversi dipanggil polis

Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 17 Feb 2019 04:17PM Dikemas Kini : 17 Feb 2019 04:20PM

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia sudah memanggil dua individu, termasuk blogger kontroversi Papagomo, bagi membantu siasatan berhubung insiden di mana Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa dikasari dan diugut oleh blogger berkenaan di Kajang pada Sabtu (16 Feb).

Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata Papagomo, atau nama sebenar Muhammad Azri Wan Deris, dipanggil bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

“Kami akan panggil dia (Papagomo) dan individu-individu terlibat dalam rakaman klip video berkenaan yang mengasari dan mencaci menteri berkenaan, untuk mengambil keterangan mereka berhubung kes ini.

“Polis juga akan meneliti rakaman klip video itu untuk memanggil lebih ramai lagi saksi,” kata Encik Noor Azam kepada agensi berita Bernama.

Pada Sabtu (16 Feb), dua aduan polis berkaitan insiden melibatkan Anggota Parlimen Muar itu dibuat menyusuli majlis penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Semenyih. Ia disiasat di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan.

Dalam kenyataan Ketua Polis Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff semalam (16 Feb), polis menerima dua aduan tersebut daripada anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang.

Berikutan insiden tersebut, Encik Syed Saddiq membuat aduan polis di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya semalam (16 Feb).

Klip video yang tular di media sosial memaparkan Encik Syed Saddiq dikerumuni penyokong parti pembangkang sewaktu dalam perjalanan menuju ke keretanya selepas selesai proses penamaan calon bagi PRK Semenyih.

Video selama 22 saat itu menunjukkan Encik Syed Saddiq diiringi anggota polis serta anggota Unit Amal PAS sambil dikejar sekumpulan lelaki. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan