Images
  • jokowi (1)
    (Gambar: Reuters)

Kes serangan Wiranto: Presiden Jokowi arah langkah-langkah keselamatan lebih ketat

JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo hari ini (11 Okt) mengarahkan langkah-langkah keselamatan di negara itu dipertingkat ekoran percubaan membunuh terhadap Menteri Penyelaras Politik, Hukum dan Keamanan, Wiranto semalam (10 Okt).

Encik Wiranto ditikam dua kali diperutnya oleh pasangan suami isteri yang disifatkan sebagai militan penyokong ISIS.

Presiden Indonesia itu sekali lagi melawat Encik Wiranto di hospital pagi tadi dan menyatakan bahawa keadaan beliau beransur stabil.

"Saya baru saja jenguk lagi... Bapak Wiranto, dan alhamdulillah kondisinya sudah stabil," kata Presiden Jokowi di hospital Gatot Soebroto, di Jakarta.

Dalam pada itu, polis Indonesia juga sedang memburu lebih banyak suspek hari ini (11 Okt) yang terbabit dalam serangan itu.

Encik Wiranto yang ditikam dua kali diperutnya sudahpun menjalani pembedahan darurat semalam. Beliau ditikam di bandar Pandeglang, wilayah Banten, Jawa Barat semalam ketika keluar dari keretanya untuk menghadiri satu acara.

Penyerangnya, Syahril Alamsyah yang juga dikenali sebagai Abu Rara ditangkap bersama isterinya. Polis juga menyita sebilah pisau dan gunting dari mereka.

Badan Perisikan Indonesia menyatakan pihaknya mengawasi tindak-tanduk Abu Rara sejak tiga bulan lalu. Dia dipercayai menyimpan sejumlah senjata dan menjadi anggota kumpulan militan Jamaah Ansharut Daulah (JAD) di Jawa Timur.

JAD menyokong kumpulan pengganas ISIS dan beroperasi menerusi unit-unit kecil hingga sukar untuk dipantau.

"Kepada semua masyarakat kami mengajak bersama-sama untuk memerangi radikalisme, memerangi terrorisme yang ada di tanah air kita. Hanya dengan upaya kita bersama-sama terrorisme dan radikalisme boleh kita selesaikan dan berantas," kata Presiden Indonesia Joko Widodo.

- Agensi berita/MU/ha

Top