Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes rasuah Rosmah Mansor dipindah ke mahkamah sama kes rasuah bekas pegawai khas Najib Razak

Mahkamah Tinggi Malaysia hari ini (23 Apr) menetapkan 2 Mei untuk mendengar permohonan pendakwaan bagi memindahkan kes rasuah yang dihadapi Rosmah Mansor ke mahkamah dengan kes rasuah bekas pegawai khas Najib Razak, Rizal Mansor, untuk dibicarakan bersama.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes rasuah Rosmah Mansor dipindah ke mahkamah sama kes rasuah bekas pegawai khas Najib Razak

Rosmah Mansor tiba di mahkamah pada 10 April (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 23 Apr 2019 05:25PM Dikemas Kini : 23 Apr 2019 05:28PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Malaysia hari ini (23 Apr) menetapkan 2 Mei untuk mendengar permohonan pendakwaan bagi memindahkan kes rasuah yang dihadapi Rosmah Mansor ke mahkamah dengan kes rasuah bekas pegawai khas Najib Razak, Rizal Mansor, untuk dibicarakan bersama.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu berkata adalah permohonan pendakwaan untuk membawa kes yang dihadapi Cik Rosmah, 67 tahun, ke hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

“Permohonan itu dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Encik Collin Lawrence Sequerah semasa sebutan semula kes hari ini dan akan didengar olehnya.

“Pemindahan itu dibuat berikutan kes membabitkan Encik Rizal ada di situ (Hakim Mohamed Zaini). Oleh itu pada tarikh akan datang kami (pendakwaan) akan buat permohonan pemindahan kes. Jadi pada 2 Mei kedua-dua pihak akan berhujah berhubung permohonan itu hadapan Hakim Collin,” kata Encik Mohd Dusuki.

Pada prosiding hari ini (23 Apr), Cik Rosmah diwakili peguam Encik Akberdin Abdul Kader dan Encik Jagjit Singh.

Pada 15 Nov tahun lepas, Cik Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187,500,000 (S$61,606,181) dan menerima rasuah RM1.5 juta (S$493,000) berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Cik Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 (S$3,300) mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan