Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes penyelam hilang di Pulau Jawa: Kesemua mangsa tidak dapatkan pandangan pemandu pelancong tentang keadaan laut

Tiga penyelam, termasuk seorang warga Singapura, yang hilang di Pulau Jawa, Indonesia menyelam skuba tanpa berunding dengan pemandu pelancong tempatan yang mungkin memberi amaran tentang arus kuat di kawasan tersebut. Demikian menurut pegawai penyelamat kanan pada Rabu (6 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Kes penyelam hilang di Pulau Jawa: Kesemua mangsa tidak dapatkan pandangan pemandu pelancong tentang keadaan laut

Encik Muhammad Zaenal, ketua Basarnas Indonesia. (Gambar: Nivell Rayda)

Diterbitkan : 06 Nov 2019 10:41PM Dikemas Kini : 06 Nov 2019 10:42PM

BANTEN, INDONESIA: Tiga penyelam, termasuk seorang warga Singapura, yang hilang di Pulau Jawa, Indonesia menyelam skuba tanpa berunding dengan pemandu pelancong tempatan yang mungkin memberi amaran tentang arus kuat di kawasan tersebut. Demikian menurut pegawai penyelamat kanan pada Rabu (6 Nov).

Dalam wawancara bersama Mediacorp, ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia Muhammad Zaenal berkata kesemua lelaki yang hilang menyelam di pantai timur Pulau Sangiang pada Ahad (3 Nov) bersama tiga orang lain.

"Mereka secara bersahaja membahagikan diri kepada dua kumpulan meliputi tiga orang. Satu kumpulan (kesemua pulang dengan selamat) menghala ke utara manakala satu lagi kumpulan menuju ke bahagian selatan," terang Encik Muhammad Zaenal dari pusat arahan Basarnas di Pelabuhan Merak, terletak 30 minit dari pulau tersebut.

Ini meletakkan ketiga-tiga penyelam yang hilang itu dalam laluan dengan arus kuat, mengalir dari Selat Melaka dan Laut Jawa ke Lautan Hindi.

"Para penyelam kami bahkan dibawa arus ketika cuba mencari lelaki-lelaki yang hilang, muncul 1.7 batu nautika dari tempat asalnya selepas pencarian satu jam," kata Encik Muhammad Zaenal.

Para penyelamat dikerahkan untuk mencari di kawasan Selat Sunda setelah tiga penyelam didapati hilang di Kepulauan Sangiang di Banten, Indonesia. (Gambar Basarnas)

"Penduduk juga yakin terdapat parit cetek (kemungkinan menyebabkan arus meningkat) di bahagian selatan pulau tersebut yang boleh memudaratkan lagi keadaan."

Kumpulan tersebut berpengalaman dan salah seorang daripada mereka mempunyai lesen penyelamat, kata Encik Muhammad Zaenal tanpa mengulas lanjut.

"Daripada pengakuan mangsa-mangsa yang terselamat, mereka tidak mendapatkan khidmat atau merujuk kepada pemandu pelancong tempatan sebelum selam skuba pada Ahad. Sekiranya mereka berbuat demikian, mereka akan menyedari kehadiran arus dasar laut yang kuat."

Warga Singapura yang hilang dikenal pasti sebagai Wan Bing Yang manakala dua lagi mangsa adalah warga China Qin Xue Tao dan Tian Yu.

Menurut Encik Muhammad Zaenal, kesemua enam penyelam itu tiba di pulau tersebut pada Ahad dan tidak merancang untuk bermalam di sana.

Basarnas mengerahkan lebih 150 penyelamat ke Selat Sunda pada Rabu (5 Nov) sedang usaha mencari tiga penyelam yang hilang masuk hari keempat.

"Petang ini, kami mendapat bantuan tambahan daripada tentera dalam bentuk dua pesawat pengawasan yang membuat pencarian di perairan sepanjang Selat Sunda, mencari petunjuk di mana mereka berada," kata Encik Muhammad Zaenal.

Pada Selasa, Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura menyatakan pihak berkuasa Indonesia sedang menyelaraskan operasi mencari dan menyelamat.

MFA menambah ia sedang menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa Singapura yang hilang itu.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan