Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes penemuan anggota tubuh dikerat 8: Suspek warga S'pura tidak tunjuk reaksi mencurigakan, kata kakak mangsa

Bagaikan tiada apa-apa janggal yang berlaku. Begitulah kelakuan suspek kes pembunuhan di Kampung Ladang dekat Krubong, Melaka, pada petang Khamis (10 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Kes penemuan anggota tubuh dikerat 8: Suspek warga S'pura tidak tunjuk reaksi mencurigakan, kata kakak mangsa

(Gambar hiasan: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Oct 2019 01:29PM Dikemas Kini : 14 Oct 2019 05:42PM

MELAKA: Bagaikan tiada apa-apa janggal yang berlaku. Begitulah kelakuan suspek kes pembunuhan di Kampung Ladang dekat Krubong, Melaka, pada petang Khamis (10 Okt).

“Dia sempat menghantar anak bongsu berusia dua tahun ke rumah ibu seperti biasa sebelum pulang ke Singapura tanpa menunjukkan sebarang kelakuan aneh,” kata Norhafizah Bidin, kakak sulung kepada mangsa tragedi berkenaan, kepada Astro AWANI.

Norhafizah, 33 tahun, berkata adik iparnya itu - yang merupakan warga Singapura dan dikaitkan dengan pembunuhan adik bongsu beliau iaitu Nurfazera, 27 tahun, serta anak sulung mangsa Muhammad Iman Asraf Abdullah, 11 tahun, - adalah seorang lelaki yang sangat baik dan penyayang terhadap keempat-empat anak tirinya.

Wanita itu menambah adik bongsunya, yang mesra disapa ‘baby’ dalam kalangan keluarga, menetap bersama ibu dan seorang lagi adiknya di Rumah Pangsa Pegaga dekat Taman Merdeka, Melaka. 'Baby' hanya pulang sesekali ke rumah sewanya, terletak kira-kira dua kilometer dari rumah pangsa tersebut, apabila suaminya yang bekerja di Singapura pulang bercuti di Melaka.

“Adik saya dengan dua lagi anaknya hasil perkahwinan terdahulu tinggal bersama ibu di rumah pangsa ini dan hanya akan pulang ke rumah sewanya apabila suaminya yang baharu dikahwini kira-kira setahun lalu pulang bercuti memandangkan dua lagi anak dijaga bekas suami.

“Ahad lalu, dia pulang ke rumah sewanya ekoran hari itu merupakan hari ulang tahun kelahirannya dan turut memaklumkan kepada kami dia akan ke Kuala Lumpur keesokannya untuk membeli-belah dan menyambut hari jadi,” cerita Norhafizah kepada Astro AWANI pada Jumaat (11 Okt).

Mengulas lanjut apa yang berlaku pada hari kejadian ngeri tersebut, Norhafizah berkata pada awalnya, mereka sekeluarga tidak mengesyaki apa-apa termasuk kehilangan dua beranak berkenaan memandangkan suami mangsa pulang bercuti dari Singapura.

“Hari Selasa pagi, adik ipar hantar anak buah umur berusia dua tahun itu ke rumah ibu dan memaklumkan akan terus pulang ke Singapura.

“Ibu sempat bertanya ‘mana baby’ dan dia dalam keadaan tenang memaklumkan tidak tahu tanpa menunjukkan sebarang reaksi mencurigakan mahupun gelabah,” kongsinya lagi.

Pada Jumaat, tular di media sosial mengenai satu laporan pembunuhan seorang wanita berusia 27 tahun dan anak lelakinya berusia 11 tahun yang dipercayai dibunuh oleh suami mangsa itu sendiri - seorang warga Singapura.

Pembunuhan tersebut dikaitkan dengan mayat individu, dipercayai lebih daripada seorang yang menjadi mangsa bunuh, apabila sekurang-kurangnya lapan bahagian tubuh ditemui berselerakan di kawasan semak Kampung Ladang, Krubong pada Khamis lalu.

Norhafizah berkata, buat masa ini, beliau dimaklumkan bahawa pihak polis akan mengambil sampel ujian DNA wakil keluarga bagi memastikan sama ada penemuan lapan anggota tubuh manusia tersebut milik adik dan anak buahnya ataupun bukan.

“Kalau boleh saya memang hendak tahu dengan cepat siasatan dijalankan pihak polis. Kami dimaklumkan banyak lagi bahagian anggota badan yang tidak lengkap termasuk kepala.

“Jadi saya harap orang ramai janganlah sebarkan gambar mahupun maklumat tidak sahih bagi menjaga sensitiviti keluarga kami lebih-lebih lagi seorang lagi adiknya bakal melangsungkan perkahwinan minggu depan,” pinta Norhafizah. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan