Images
  • cat-abuse
    (Gambar: Agensi berita)

Kes penderaan ke atas haiwan di Malaysia catat peningkatan

LABUAN: Kes penderaan ke atas haiwan di Malaysia meningkat 30 peratus daripada 510 pada 2017 kepada 662 kes tahun lalu. Demikian menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.

Jumlah kes penderaan pula meningkat 10 peratus antara 2016 dengan 2017, daripada 463 kes kepada 510. Lebih 90 peratus daripada kes-kes demikian melibatkan anjing dan kucing.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan itu, Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam, peningkatan jumlah kes penderaan haiwan yang dilaporkan kepada jabatan itu adalah disebabkan kesedaran yang semakin meningkat di kalangan masyarakat terhadap penderaan ke atas haiwan.

Bagi tempoh antara Januari dengan Jun ini, sekurang-kurangnya 190 kes dicatatkan dengan denda dikenakan berjumlah RM12,500 (S$4,119.19) daripada lima kes yang dibawa ke mahkamah.

“Jumlah denda yang dikenakan ke atas pesalah tahun lepas ialah RM71,200 (S$23,462.89) berbanding RM15,000 (S$4,943.02) pada 2017,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Modul Pendidikan Awal mengenai Penjagaan dan Kebajikan Haiwan pada Ahad.

Penerbitan modul itu adalah hasil kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Ia adalah titik permulaan bagi kedua-dua jabatan untuk menerapkan pendidikan awal mengenai penjagaan, pengendalian dan kebajikan haiwan dalam kalangan kanak-kanak prasekolah sebelum memperluaskannya kepada pelajar di sekolah rendah dan menengah sebagai sebahagian daripada kokurikulum mereka.

- BERNAMA/HA/ha

Top