Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes pembunuhan penggubal dasar Britain diisytihar insiden pengganasan

Pembunuhan Anggota Parlimen Britain David Amess adalah insiden pengganasan, menurut polis hari ini (19 Okt), sedang ia menyiasat pembunuhan kedua seorang ahli politik Britain sewaktu bertemu dengan para pengundi sejak 2016.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes pembunuhan penggubal dasar Britain diisytihar insiden pengganasan

Anggota Parlimen David Amess dibunuh sewaktu melakukan sesi bertemu rakyat di sebuah gereja di Essex, London. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 16 Oct 2021 12:21PM Dikemas Kini : 16 Oct 2021 12:25PM

LONDON: Pembunuhan Anggota Parlimen Britain David Amess adalah insiden pengganasan, menurut polis hari ini (19 Okt), sedang ia menyiasat pembunuhan kedua seorang ahli politik Britain sewaktu bertemu dengan para pengundi sejak 2016.

Polis Metropolitan menyatakan siasatan awal mendedahkan "kemungkinan insiden itu ada hubung kait dengan pelampau Islam".

Encik Amess, 69 tahun, seorang penggubal dasar parti Konservatif yang menyokong Brexit ditikam mati di sebuah gereja pada Jumaat sedang beliau mengadakan sesi rundingan sekali setiap dua minggu bersama para pengundi di sebuah bandar kecil di Leigh-on-Sea di Essex, London.

Polis memberkas seorang lelaki 25 tahun di tempat kejadian kerana disyaki membunuh mangsa selain merampas sebilah pisau.

Polis Essex menyatakan bahawa para pegawai bertindak balas "dalam beberapa minit sahaja" selepas menerima aduan tentang insiden tikaman itu sejurus selepas pukul 12.05 petang waktu tempatan (7.05 malam waktu Singapura) dan mendapati Encik Amess "mengalami beberapa kecederaan" setibanya di tempat kejadian.

Anggota paramedik cuba menyelamatkan beliau tetapi tidak berjaya.

Beberapa cawangan media Britain, dengan memetik sumber-sumber, melaporkan bahawa suspek dipercayai warga Britain berketurunan Somalia.

"Siasatan sedang dalam peringkat sangat awal dan diketuai oleh para pegawai markas pakar antipengganasan," kata Encik Ben-Julian Harrington, ketua konstabel polis Essex kepada para wartawan.

"Kami sudah menerangkan dengan jelas bahawa ketika insiden berlaku, kami tidak mempercayai bahawa terdapat sebarang ancaman secara langsung kepada sesiapa pun di kawasan itu," tambah Encik Harrington.

Meskipun serangan awam terhadap Anggota Parlimen Britain jarang berlaku, sesetengah penggubal dasar menjadi mangsa serangan tikaman sebelum ini.

Pada Januari 2000, Anggota Parlimen parti Demokrat Bebas Nigel Jones mengalami kecederaan dan pembantunya pula dibunuh oleh seorang lelaki yang mengacukan pedang istiadat sewaktu satu sesi bertemu rakyat.

Anggota Parlimen parti Buruh Jo Cox pula dibunuh menjelang pungutan suara Brexit manakala seorang lagi Anggota Parlimen parti BUruh Stephen Timms berkali-kali ditikam di sebuah acara pada 2010 tetapi beliau sudah sembuh daripada kecederaannya dan kini masih lagi merupakan penggubal dasar.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan