Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes Najib: Pendakwaan bantah permohonan pembelaan supaya saksi pertama kemuka dokumen

Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Najib Razak yang didakwa atas tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd membantah permohonan pembelaan supaya saksi pertama mengemukakan tiga dokumen tambahan dalam perbicaraan kes itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes Najib: Pendakwaan bantah permohonan pembelaan supaya saksi pertama kemuka dokumen

Encik Najib Razak. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 15 Apr 2019 02:02PM Dikemas Kini : 15 Apr 2019 02:04PM

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Najib Razak yang didakwa atas tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd membantah permohonan pembelaan supaya saksi pertama mengemukakan tiga dokumen tambahan dalam perbicaraan kes itu.

Peguam, Encik V. Sithambaram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya berkata mahkamah perlu meneliti sama ada dokumen tambahan itu boleh diterima dan sama ada ia relevan untuk dikemukakan bagi tujuan menyoal balas saksi pertama, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Encik Muhamad Akmaludin Abdullah, 35 tahun.

Dokumen itu termasuk butiran semua individu yang pernah menjawat jawatan pengarah di Yayasan Rakyat 1Malaysia.

"Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah jelas menyatakan bahawa mahkamah perlu meneliti dokumen yang akan dikemukakan itu sama ada boleh diterima di mahkamah ini dan sama ada terdapat keperluan untuk dokumen terbabit digunakan di mahkamah untuk menyoal balas saksi,” kata Encik Sithambaram pada hari kedua perbicaraan kes Encik Najib itu.

Peguam, Harvinderjit Singh yang mewakili Encik Najib pula berhujah bahawa dokumen itu mesti ditunjukkan terlebih dahulu, kemudian baru diputuskan sama ada ia relevan atau sebaliknya.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar perbicaraan kes itu memutuskan bahawa kedua-dua pihak perlu meneliti dokumen itu terlebih dahulu sebelum ia boleh dikemukakan di mahkamah.

Pada prosiding 3 April lalu, Encik Harvinderjit meminta Encik Muhamad Akmaludin membuat carian berhubung Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) bagi mendapatkan butir semua individu pernah menjawat sebagai pengarah di syarikat itu.

Perbicaraan kes itu kemudiannya diteruskan dengan pihak pembelaan menyoal balas Encik Muhamad Akmaludin. Pada 3 April lepas saksi itu selesai memberikan keterangan pada peringkat pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan.

Encik Najib, 66 tahun, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta (S$13 juta).

Anggota Parlimen Pekan itu yang merupakan Perdana Menteri keenam, didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan dan pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos dan 10 Feb 2015.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan