Images
  • malaysia covid virus kawalan pergerakan
    (Gambar: BERNAMA)

Kes jenayah di M'sia merosot 70% sejak kawalan pergerakan: Polis

KUALA LUMPUR: Kadar indeks jenayah merosot sebanyak 70 peratus di seluruh negara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula berkuat kuasa 18 Mac lalu, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata walaupun kadar jenayah menunjukkan penurunan dalam tempoh perintah itu, pihaknya mendapati jenayah yang ketara dilakukan adalah melibatkan kes pecah rumah dan mencuri motosikal.

"Mereka ini (penjenayah) mengambil kesempatan melakukan jenayah dalam tempoh PKP dan kami dapat mengesan mereka melalui sekatan jalan raya.

"Apabila mereka nampak polis buat sekatan jalan raya mereka berpatah balik dan akhirnya merempuh sekatan jalan raya yang dibuat," katanya dalam temu bual khas sempena Hari Polis ke-213 di program 'Selamat Pagi Malaysia' yang disiarkan di saluran TV1, RTM, pada Rabu (25 Mac).

Dalam pada itu, Encik Abdul Hamid berkata seramai 46,000 pegawai dan anggota polis di seluruh negara ditugaskan untuk membuat sekatan jalan raya, rondaan bermotosikal, pemeriksaan di premis kunjungan orang ramai serta menghebahkan maklumat berkaitan pelaksanaan PKP.

"Kesemua ini amat penting untuk orang ramai mengurangkan pergerakan dan kami akan memeriksa sama ada mereka ini (orang awam) adalah terdiri daripada golongan yang dibenarkan untuk keluar dari rumah atau sebaliknya," kata beliau.

Sementara itu, ditanya mengenai tahap pematuhan masyarakat berhubung pelaksanaan PKP, Encik Abdul Hamid berkata tahap pematuhan sehingga ke hari ini semakin meningkat.

"Alhamdulillah, orang ramai mula akur dengan PKP dan saya merayu kepada orang ramai untuk mengikut segala nasihat polis dan tentera dalam tempoh PKP ini," katanya.

- BERNAMA/EM/ha

Top