Images
  • malaysia covid (1)
    Gambar: BERNAMA

Kes harian COVID-19 M'sia kembali lepasi 6,000

KUALA LUMPUR: Jangkitan harian COVID-19 di Malaysia kembali mencecah paras 6,000 apabila 6,144 kes baru dicatatkan hari ini (25 Nov) berbanding 5,654 semalam, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kali terakhir kes harian COVID-19 merekodkan angka melebihi 6,000 kes adalah pada 19 November lepas iaitu 6,355 kes.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kes sembuh mengatasi kes baru iaitu 6,602 kes menjadikan kumulatif kes sembuh kini 5,510,029.

"Sebanyak 6,048 kes atau 98.4 daripada kes baru adalah kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala serta bergejala ringan, manakala 96 kes atau 1.6 peratus lagi adalah kategor tiga, empat dan lima iaitu pesakit mengalami radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen dan alat bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata 516 kes memerlukan rawatan di Unit Jagaan Rapi (ICU) dengan 272 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata tujuh kluster baru dikenal pasti hari ini menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 235, manakala kadar kebolehjangkitan (Rt) negara berkurang kepada 0.99 berbanding 1.0 semalam. 

Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

- BERNAMA/TQ/tq

Top