Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes harian COVID-19 China naik, berpunca dari pesakit tanpa gejala sebelum ini

China melaporkan peningkatan kes baru COVID-19 disebabkan oleh lonjakan jangkitan di kalangan pesakit tanpa gejala sebelum ini di wilayah timur laut Jilin, menurut perangkaan rasmi pada Isnin (25 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Kes harian COVID-19 China naik, berpunca dari pesakit tanpa gejala sebelum ini

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 25 Jan 2021 01:48PM Dikemas Kini : 25 Jan 2021 01:51PM

SHANGHAI: China melaporkan peningkatan kes baru COVID-19 disebabkan oleh lonjakan jangkitan di kalangan pesakit tanpa gejala sebelum ini di wilayah timur laut Jilin, menurut perangkaan rasmi pada Isnin (25 Jan).

Jumlah keseluruhan kes yang disahkan di tanah besar meningkat kepada 124 pada 24 Jan daripada 80 sehari sebelumnya, menurut Suruhanjaya Kesihatan Nasional dalam satu kenyataan, di tengah-tengah gelombang jangkitan baru yang paling teruk di China sejak Mac tahun lalu.

Daripada 117 jangkitan tempatan baru, Jilin membentuk 67 kes - 64 daripadanya adalah pesakit yang sebelum ini tidak mengalami gejala yang sekarang digolongkan semula sebagai kes disahkan setelah mengalami gejala. Heilongjiang melaporkan 35 kes baru, sementara Hebei melaporkan 11 kes baru.

Walaupun jumlah jangkitan baru kekal rendah berbanding negara-negara lain, negara dengan jumlah penduduk paling ramai di dunia itu bertekad untuk memastikan penularan dapat dibendung menjelang cuti Tahun Baru Cina bulan depan apabila berjuta-juta orang melakukan perjalanan ke wilayah tempat kampung halaman mereka.

Pihak berkuasa tempatan melancarkan pelbagai langkah termasuk kuarantin di rumah bagi jutaan penduduk, sekatan perjalanan, serta ujian dan saringan besar-besaran COVID-19 dalam usaha untuk mengekang penyakit ini.

Jumlah kes baru tanpa gejala, yang tidak digolongkan oleh China sebagai kes yang disahkan, berkurangan kepada 45 daripada 92 kes sehari sebelumnya.

Jumlah kes COVID-19 yang disahkan di tanah besar China adalah 89,115, sementara angka korban kekal pada 4,635.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan