Images
  • kementerian pendidikan msia
    (Gambar: BERNAMA)

Kes guru 'dikurung' dalam stor kerana belum divaksin dilapor kepada Kementerian Pendidikan M'sia

IPOH: Satu video tular yang memaparkan seorang lelaki yang dipercayai adalah seorang guru yang diasingkan di sebuah bilik stor tukang cuci oleh pihak sekolah kerana belum menerima vaksin COVID-19 sudah dilaporkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata tindakan itu berdasarkan hasil siasatan penuh dan terperinci oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.

"Saya sudah sedia maklum kes tersebut dan telah mendapat maklum daripada pihak JPN.

"Laporan penuh akan dimaklumkan dalam masa terdekat oleh pihak Kementerian Pendidikan," katanya dalam kenyataan pada Rabu (24 Nov).

Video berdurasi lebih seminit itu dimuat naik menerusi aplikasi TikTok beberapa hari lalu dan sehingga kini sudah mencecah 1.4 juta tontonan.

Dalam rakaman itu, lelaki berkenaan meluahkan rasa kesal atas layanan yang diberikan dan mendakwa pada mulanya dia ditempatkan di stor pendidikan jasmani namun dipindahkan ke bilik stor tukang cuci yang berdindingkan zink dengan alasan ia merupakan kawasan laluan dan mempunyai banyak peralatan sukan.

Lelaki itu juga mendakwa bilik stor tukang cuci itu hanya mempunyai meja dan kipas namun tidak mempunyai kerusi untuk menggunakan komputer riba dan sebagainya. 

Bagaimanapun, Ahmad Saidi berkata kerajaan negeri memandang serius terhadap perkara itu yang melibatkan pelbagai aspek kesihatan dan kebajikan para guru.

"Pihak kerajaan negeri ingin memastikan kesemua pihak sama ada guru, pelajar dan ibu bapa berada dalam keadaan sihat," katanya.

Pada 9 November lalu, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad memaklumkan seramai 279 guru di negeri itu dikenal pasti menolak daripada menerima suntikan vaksin COVID-19. 

- BERNAMA/HA/ha

Top