Images
  • covid-19 us testing
    (Gambar: AP)

Kes COVID-19 makin meningkat di Michigan

WASHINGTON: Pihak berkuasa kesihatan menyuarakan keprihatinan terhadap peningkatan jangkitan COVID-19 di Michigan, Amerika Syarikat (AS) walaupun kempen vaksinasi sudah dipertingkatkan.

Ketua Eksekutif Perubatan Michigan Joneigh Khaldun turut memberi amaran di Twitter mengenai peningkatan mendadak pada jumlah kes koronavirus di wilayah tersebut.

"Jumlah pesakit di hospital juga meningkat, penduduk Michigan perlu mempertingkatkan usaha bagi membantu menghentikan penularan virus ini," katanya.

Michigan menyaksikan jumlah jangkitan COVID-19 yang lebih tinggi dalam kalangan penduduknya berbanding wilayah-wilayah lain di Amerika Syarikat dan sesetengah pakar mengaitkan peningkatan mendadak itu dengan percutian musim bunga.

Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Rochelle Walensky berkata kakitangannya "sedang bekerja rapat" dengan Michigan dan pegawai kesihatan di wilayah tersebut.

"Pasukan CDC kami sedang menilai penularan di pusat-pusat tahanan, katanya.

Menurut beliau lagi, CDC juga sedang "berusaha untuk memahami apa yang sedang berlaku" dengan varian baru COVID-19.

Meskipun berupaya memvaksin tiga juta penduduk setiap hari di seluruh negara, jumlah kes baru kembali meningkat di Amerika Syarikat dengan purata kira-kira 63,000 kes baru sehari semasa ujian dijalankan minggu lalu.

Sedang jangkitan meningkat, jumlah kematian pula merosot hasil daripada peningkatan program vaksinasi terhadap golongan 'berisiko', kata Cik Walensky.

- AFP/NA/na

Top