Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes COVID-19 di Sydney terus mereda

Kes COVID-19 Sydney merosot ke paras terendah dalam dua bulan hari ini (12 Okt) sedang pihak berkuasa melancarkan langkah-langkah sokongan untuk perniagaan, mengalihkan tumpuan mereka untuk merancakkan ekonom.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes COVID-19 di Sydney terus mereda

Pelanggan nikmati hidangan di sebuah kafe di Sydney, Australia setelah pembukaan semula pada 11 Okt 2021 (Gambar: AP Photo/Rick Rycroft)

Diterbitkan : 12 Oct 2021 09:13AM Dikemas Kini : 12 Oct 2021 09:17AM

SYDNEY: Kes COVID-19 Sydney merosot ke paras terendah dalam dua bulan hari ini (12 Okt) sedang pihak berkuasa melancarkan langkah-langkah sokongan untuk perniagaan, mengalihkan tumpuan mereka untuk merancakkan ekonomi setelah bandar itu keluar daripada perintah berkurung hampir empat bulan pada hari sebelumnya.

Pub, kafe dan kedai runcit dibuka semula di New South Wales, yang terletak di Sydney, pada Isnin (11 Okt) setelah tahap vaksinasi populasi dewasa di wilayah itu menjangkaui 70 peratus.

Jangkitan harian baru di wilayah itu merosot kepada 360 hari ini, kebanyakannya di Sydney, menandakan trend merosot yang stabil.

"Ini akan menjadi waktu yang sibuk di New South Wales untuk setiap perniagaan dan pekerja di seluruh wilayah kita," kata Ketua Menteri Dominic Perrottet semasa taklimat media hari ini, sedang beliau melancarkan pakej sokongan buat perusahaan untuk membantu mereka mempersiapkan diri menjelang "musim panas yang cerah ".

Encik Perrottet mengumumkan bahawa perniagaan akan diberi ganti rugi untuk sebarang penutupan COVID-19 pada Disember dan Januari, menggalak mereka untuk membuat persediaan menjelang musim cuti musim panas yang sibuk. Di bawah rancangan itu, syarikat kecil boleh mengakses geran hingga A$20,000 (S$19,910) jika mereka terpaksa menutup perniagaan dalam tempoh tersebut.

Sydney, berserta Melbourne dan ibu kota Australia, Canberra, sedang berdepan gelombang ketiga jangkitan yang didorong oleh varian Delta yang sangat mudah berjangkit, dengan semua bandar ingin mula melonggarkan sekatan secara bertahap-tahap apabila kadar vaksinasi lengkap mencapai 70 peratus, 80 peratus dan 90 peratus.

Canberra berada di landasan tepat untuk menamatkan sekatannya pada Jumaat, dengan menyertai dengan Sydney, sedang tahap vaksinasinya hampir 75 peratus.

Kadar vaksinasi di Victoria, yang merangkumi Melbourne, dijangka melepasi 70 peratus dalam kalangan mereka berusia lebih 16 tahun sekitar hujung Oktober, apabila sebahagian sekatan akan dilonggarkan. Ia melaporkan 1,466 kes pada Selasa, yang terendah dalam enam hari.

Pemerintah federal menggesa wilayah-wilayah untuk mula hidup dengan virus ketika kadar vaksinasi mencapai 70 hingga 80 peratus tetapi beberapa wilayah bebas virus menyatakan pihaknya mungkin menunda pembukaan semula di tengah-tengah kebimbangan bahawa lonjakan kes akan membanjiri sistem kesihatan mereka.

Kadar vaksinasi yang lebih tinggi dalam kalangan penduduk yang paling berisiko membantu Australia mengekalkan kadar kematian akibat varian Delta lebih rendah berbanding penularan tahun lalu. Ia mencatatkan sekitar 131,400 kes dan 1,461 kematian sejak pandemik bermula.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan