Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes COVID-19 di M'sia cecah 1,796, jumlah korban 19 orang

Lagi 172 kes baru COVID-19 dilaporkan di Malaysia setakat tengah hari Rabu (25 Mac), menjadikan jumlah kes keseluruhan di negara itu 1,796.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes COVID-19 di M'sia cecah 1,796, jumlah korban 19 orang

Para pegawai kuarantin kesihatan Malaysia menanti penumpang di tempat pemeriksaan suhu badan di terminal kapal pesiaran. (Gambar: Malay Mail menerusi TODAYonline)

Diterbitkan : 25 Mar 2020 06:38PM Dikemas Kini : 25 Mar 2020 06:40PM

PUTRAJAYA: Lagi 172 kes baru COVID-19 dilaporkan di Malaysia setakat tengah hari Rabu (25 Mac), menjadikan jumlah kes keseluruhan di negara itu 1,796.

Angka korban COVID-19 di Malaysia pula kini berjumlah 19 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan siasatan awal, daripada 172 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 71 kes ada kaitan dengan kelompok perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling.

“Manakala baki 101 kes masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media harian bagi perkembangan COVID-19. 

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini sebanyak 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 34 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya lagi, 16 kes telah pulih dan dibenarkan pulang dari hospital hari ini, menjadikan jumlah pesakit telah pulih sebanyak 199 kes.

Sejauh ini, 73 anggota kesihatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dikesan positif COVID-19 dan berdasarkan siasatan, punca jangkitan bukan disebabkan oleh pengendalian kes positif COVID-19 di kemudahan Kesihatan KKM.

“Daripada jumlah tersebut, didapati punca jangkitan bagi 47 kes adalah berkaitan dengan majlis perkahwinan yang dihadiri oleh mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh. Lain-lain punca adalah seperti sejarah melawat ke luar negara dan daripada kontak keluarga yang positif COVID-19,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, seramai 1,895 anggota KKM yang menguruskan pesakit COVID-19 di kemudahan kesihatan KKM telah menjalani ujian pengesahan, dan 1,187 orang diuji negatif manakala 708 lagi masih menunggu keputusan dan tiada yang dikesan positif.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memohon semua anggota kesihatan dan barisan hadapan memaklumkan kepada ketua jabatan masing-masing sekiranya mereka terlibat secara langsung atau berhubungan dengan para peserta yang menghadiri program Ijtimak Tabligh di Sri Petaling dari 27 Feb sehingga 1 Mac, majlis perkahwinan pada  6 Mac di Bangi atau majlis perkahwinan pada 7 Mac di Putrajaya. 

Mengenai pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April, orang ramai dinasihati untuk terus mengekalkan jarak sosial lebih dari satu meter antara satu sama lain. 

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan