Images
  • COVID US
    Gambar fail. (Gambar: REUTERS/Brendan McDermid)

Kes COVID-19 di Amerika Syarikat jangkau 12 juta

WASHINGTON: Jumlah kes COVID-19 di Amerika Syarikat sudah melepasi 12 juta dengan data Universiti Johns Hopkins juga menunjukkan lebih 255,000 pesakitnya sudah meninggal dunia.

Jumlah kes dan kematian pesakit COVID-19 di Amerika Syarikat adalah yang tertinggi di dunia.

Kadar penularannya semakin pesat kebelakangan ini.

Jumlah kesnya bertambah 1 juta dalam tempoh enam hari sahaja berbanding lapan hari apabila ia naik daripada 10 juta kepada 11 juta kes.

Para pegawai kesihatan Amerika memberi amaran sistem jagaan kesihatan negara itu mungkin begitu tertekan jika orang ramai tidak mematuhi garis panduan kesihatan awam bagi mencegah jangkitan.

Ia termasuk tidak melakukan perjalanan jauh dan mengadakan perjumpaan dengan keluarga-keluarga lain semasa sambutan Thanksgiving pada Khamis ini (26 Nov).

Lebih 20 wilayah Amerika mewajibkan pemakaian pelitup dan mengenakan sekatan jarak selamat yang lebih ketat.

California pula akan mula melaksanakan perintah berkurung waktu malam, mulai malam ini (22 Nov).

- Agensi berita/MU/ha

Top